GOMBAK – Polis akan mencadangkan kes kematian Ganapathy a/l Anpalagan dilanjutkan ke peringkat inkues supaya ia dapat diadili dengan telus.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe yang memberi jaminan siasatan berkata, tindakan lanjut itu akan dibuat selepas kertas siasatan lengkap dan diserahkan kepada Pendakwa Raya.
“Siasatan masih diteruskan dan kertas siasatan akan dimajukan ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat dengan cadangan Inkues.
“Sebarang perkembangan baru akan dimaklumkan. Biarlah membuat keputusan jadi kes ini dapat diadili secara telus,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak hari ini.
Sehingga kini katanya, berdasarkan siasatan polis membuat kesimpulan tidak ada aduan yang diterima bahawa Ganapathy dipukul ketika dalam tahanan polis selama 11 hari bermula 25 Febuari hingga 8 Mac 2021.
Sehubungan itu beliau berkata, aduan ibu Ganapathy sebelum ini yang mengatakan anaknya dipukul oleh anggota polis, tidak dapat disahkan kesahihannya.
“Tiada sebarang aduan dipukul oleh pihak polis dibuat oleh mangsa kepada Majistret selepas tiga kali dibawa ke hadapannya bagi tujuan reman dan sambung reman. Nota reman bertarikh 25/02/2021, 02/03/2021 dan 06/03/2021 yang diperolehi daripada Pendaftar Mahkamah Selayang tiada catitan mengenai sebarang aduan mengenai dipukul oleh pihak polis.
“Tiada sebarang aduan dipukul oleh pihak polis dibuat oleh mangsa kepada Pegawai Perubatan dan Penolong Pegawai Perubatan yang telah merawat mangsa pada 28/02/2021, 03/03/2021, 06/03/2021 dan 07/03/2021,” tambahnya.
Terdahulu, Arifai menjelaskan, Ganapathy ditahan pada 24 Febuari lalu bagi membantu siasatan kes samun kilang dan kes mendatangkan kecederaan.
Ujarnya, ujian saringan air kencing mangsa mendapati positif methamphetamine.
Turut ditangkap bersamanya seorang lelaki India berumur 45 tahun yang terlibat dalam kes di bawah Seksyen 395/397, 324/342 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Selain itu, Ganapathy turut memaklumkan mempunyai sejarah penyakit jantung dan diabetik.
Kemudian, keluarganya diarahkan hadir pada jam 2 petang 25 Febuari lalu di lokap Balai Polis Selayang untuk menghantar ubat-ubatannya.
Selama berada dalam tahanan, Ganapathy, menurut Arifai, dibawa ke Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Selayang sebanyak empat kali iaitu pada 28 Febuari , 3,6 dan 7 Mac bagi mendapatkan rawatan pada luka lama yang belum sembuh di buku lali kaki kanannya.
Pada 10 Mac lalu, kaki kanannya telah diamputated (dipotong) akibat Necrotizing Fasciits dan tiada pengaliran darah sebelum meninggal dunia pada lapan hari kemudian.
“Kaki kanan mangsa telah diamputated dan bukannya kedua – dua belah kaki sepertimana yang dilaporkan sebuah portal berita,” katanya lagi sambil menambah laporan bedah siasatan penuh mengenai kematian Ganapathy belum selesai.
Untuk rekod, Ibunya, S Thanaletchumy mendakwa anaknya memberitahu bahawa dia dipukul oleh polis dengan menggunakan paip getah.
Beliau turut mendakwa kesihatan anaknya itu merosot ketika dalam tahanan polis, mengakibatkan kakinya bengkak dan lebam seolah-olah dipukul.
Sementara itu, selaku Ketua Polis IPD Gombak, Arifai memberi amaran agar mana-mana pihak tidak menggunakan media sosial untuk menimbulkan salah faham berkaitan kes ini dan menggunakan rakaman video sebagai dakwaan. – MalaysiaGazette