KUANTAN – Pusat Maklumat Rakyat (PMR) Kuantan sedia membantu orang ramai membuat pendaftaran vaksin secara manual di pejabat atau secara bersemuka.
Pegawai Penerangan Daerah Kuantan, Zayana Zahira Mohd Isa berkata, usaha tersebut merupakan inisiatif dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat tentang pentingannya mendaftar Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Menurutnya, semua PMR di Pahang menawarkan akses internet percuma, sekali gus dapat membantu orang awam membuat pendaftaran vaksinasi.
“Kami memahami kekangan segelintir masyarakat yang masih kurang mahir menggunakan teknologi maklumat terutamanya warga emas.
“Juteru pendaftaran secara manual sangat membantu bagi mencapai sasaran kerajaan memastikan rakyat mendaftar segera.
“Masjid merupakan lokasi yang strategik di mana komuniti berkumpul dan bertukar maklumat di samping dapat memahami warga emas yang kurang mahir membuat pendaftaran,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN
75 peratus belum daftar vaksin di Pahang
Seramai 1, 820 warga emas terima vaksin fasa kedua di Pahang
Beliau berkata demikian ketika ditemui MalaysiaGazette semasa Kempen Pendaftaran Vaksinasi di Masjid Saidina Ali Abi Talib, petang semalam.
Dalam pada itu, Zayana merancang untuk meneruskan jelajah pendaftaran vaksin secara manual dan berkala di lokasi terpilih di daerah Kuantan dalam masa terdekat.
Hanya 25 peratus atau 400,000 penduduk Pahang sudah mendaftar bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan. – MalaysiaGazette