KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesan 53 kes gagal mematuhi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya (SHMMP) 2021 sejak dikuatkuasakan pada 21 April lalu.
Berdasarkan laporan, sebanyak 71 kes dikesan melibatkan tiada tanda harga, gagal mempamerkan tanda harga khas merah jambu (35) dan menjual melebihi harga maksimum (47) berdasarkan 21,564 pemeriksaan yang dijalankan di seluruh negara.
Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam berkata, lebih 2,200 penguatkuasa menjalankan pemeriksaan di pelbagai peringkat iaitu membabitkan peniaga, pemborong, pengedar, peladang dan juga penternak.
“Pada masa ini walaupun masih ada sedikit aduan daripada pengguna tapi ia dapat ditangani dengan baik di mana penguatkuasa kita akan terus pergi ke lokasi.
“Jadi yang penting pada saya adalah apabila pengguna membuat aduan hendak lah disertakan dengan maklumat yang tepat supaya penguatkuasa boleh terus pergi ke tempat berkenaan.
“Namun sekiranya membuat aduan secara umum dan membabitkan kawasan yang luas, agak sukar untuk kita kenal pasti peniaga atau pemborong mana yang tidak mematuhi peraturan,” katanya kepada pemberita selepas Program Ziarah Kasih Ramadan KPDNHEP di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah, Bukit Jalil hari ini.
Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.
Pada program tersebut seramai 100 asnaf menerima sumbangan barangan keperluan harian sementara 600 bungkus bubur lambuk Kampung Baru turut diedarkan kepada penduduk.
Mengulas lanjut, Hasnol berkata, kadar pematuhan terhadap SHMMP 2021 ketika ini amat tinggi dan melebihi daripada 90 peratus.
“Respon daripada pengguna juga amat baik dan pada keseluruhannya sejak kita memperkenalkan SHMMP 2021, sudah kurang aduan daripada rakyat kecuali di tempat-tempat yang terpencil di mana mereka merasakan penguatkuasa kita tidak sampai di situ, jadi mereka cuba ambil kesempatan.
“Justeru KPDNHEP mengambil langkah memperluaskan kaedah penguatkuasaan di mana selain daripada datang dengan memakai uniform, penguatkuasa kita juga datang dengan berpakaian biasa untuk menyamar dan melihat tahap pematuhan itu sama ada ia berterusan atau ketika ada pemeriksaan sahaja,” ujarnya.
Pada 19 April lalu, KPDNHEP mengumumkan sebanyak 12 jenis barangan di bawah SHMMP 2021 termasuk ayam, telur ayam, daging serta hasil laut seperti ikan tongkol, selayang, kembung dan mabung.
Sementara itu, KPDNHEP hari ini menambah 20 jenis barangan lagi sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 32 jenis. – MalaysiaGazette