KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menerima 62 permohonan untuk menyediakan perumahan tetap kepada bekas atlet kebangsaan yang pernah mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
Menterinya, Datuk Zuraida Kamarudin berkata, beliau sendiri menerima laporan mengenai penderitaan bekas atlet negara tanpa diberi bantuan memiliki kediaman sendiri selepas bersara.
Katanya, selaku bekas atlet sofball kebangsaan, beliau terharu dan sedih mendengar dan melihat keadaan serta nasib bekas atlet kebangsaan ketika ini yang menderita akibat penyakit dan tiada tempat tinggal tetap.
Malah ada dalam kalangan mereka yang terpaksa menumpang di rumah adik atau surau, ujarnya.
“Saya datang menghulurkan bantuan kepada bekas atlet ini kerana bertimbang rasa atas nasib yang sedang mereka lalui sekarang yang mana dilupakan selepas mereka tinggalkan arena sukan masing-masing berbanding atlet generasi sekarang yang siap disediakan yayasan dan juga universiti sukan bagi menjamin nasib mereka.
“Ya, kita ada menerima permohonan 62 rumah untuk bekas-bekas atlet yang masih tiada tempat tinggal tetap dan kita akan melihat dan memperhalusinya untuk diluluskan satu rumah yang selesa dan tetap untuk mereka miliki demi kesejahteraan hidup.
“Oleh kerana permohonan mereka datang dari seluruh negara bukan susah, sebaliknya mudah untuk diuruskan dan diluluskan kementerian cuma di Selangor dan KL akan memakan sedikit masa kerana perlu melihat projek pembangunan rumah yang baharu,” katanya.
Beliau menyatakan demikian pada Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Bekas Atlet Kebangsaan di sini hari ini.
Pada majlis itu, beliau mengumumkan sumbangan 300 buah kerusi roda percuma kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb).
Menurut Zuraida, proses meluluskan rumah akan mengambil sedikit masa kerana ada rumah terbengkalai yang perlu ditambahbaik.
Tambah beliau, rumah yang sudah siap yang dibangunkan di Johor boleh dipertimbangkan untuk kelulusan segera.
Sementara itu, Presiden Yakeb, Datuk Noorul Ariffin berkata, beliau menghargai inisiatif Zuraida selaku menteri pertama yang tampil menghulurkan bantuan kepada bekas atlet negara serta merancangan untuk menjadikannya sebagai program tahunan.
Tambah beliau, setakat ini 10 peratus atau kira-kira 200 permohonan memiliki kediaman telah disenarai pendek dan daripada jumlah itu hanya 62 pemohon dikenalpasti layak menerima rumah. – MalaysiaGazette