PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukan kira-kira RM2.4 juta kepada Perbandaran Sepang (MPSepang) untuk melaksanakan lima projek pembaikan di kawasan itu.
Yang DiPertuanya (YDP), Datuk Abd Hamid Hussain berkata, sebanyak RM1.2 juta diperuntukan bagi menukar dua lif di bangunan Taman Dutamas Sepang.
Turut diperuntukkan RM400,000 untuk projek pembaikan lima gerai di Bagan Lalang yang hangus dijilat api akibat litar pintas pada 15 Mac 2021, ujarnya.
“Kita juga dapat peruntukan untuk membaiki kawasan Pekan Salak yang rosak akibat ribut hari itu sebanyak RM500,000.
“Kemudian kita juga dapat untuk kerja-kerja pembaikan di Bagan Lalang di bawah projek pelancongan untuk penurapan jalan di kawasan Pangkalan Sirip Biru, dapat lebih RM100,000, dan kerja-kerja pembaikan pasar Dengkil RM200,000,” katanya kepada pemberita pada Majlis Berbuka Bersama Media semalam.
Kesemua projek ini, jelas beliau, merupakan peruntukan di bawah pelaksanaan projek BP1 dan peruntukan pelancongan.
“Semasa lawatan Datuk Zuraida Kamaruddin ke MPSepang, dalam minggu ini kita telah dapat beberapa kelulusan daripada KPKT untuk kita laksanakan,” tambah beliau.
Ujar Abd Hamid, selain memberikan kelulusan peruntukan KPKT turut mengarahkan kerja-kerja pembaikan berkenaan siap pada pada Oktober ini.
Belia berharap dengan pelaksanaan kerja-kerja pembaikan ini kelak, Sepang akan terus terjaga kelestarianya.
“Kalau ikut kelulusan peruntukan tersebut, MPSepang kena tutup iklan untuk perolehan sebelum 10 Mei 2021. Sekarang dalam proses, kita ada 10 hari lagi untuk menyediakan dokumen, spesifikasi untuk tender sebelum kita iklan, iklan biasanya dalam 14 hari.
“Selepas 14 hari kita akan buat penilaian dan kita akan bersidang untuk mesyuarat Lembaga Perolehan dan 31 Oktober kena siapkan untuk semua projek. Lima bulan boleh, kita harap kita dapat kontraktor yang boleh siapkan (ikut masa ditetapkan)” tambah Abd Hamid. – MalaysiaGazette