KUALA LUMPUR – Empat orang rentung apabila sebuah kereta Mercedes Benz yang mereka naiki terbabas lalu terjunam ke bawah jejambat di Lebuhraya Shah Alam-Klang (SKVE) lalu terbakar hari ini.
Kejadian dilaporkan berlaku berdekatan Jalan Teratai Batu 10, Kampung Kebun Bharu, Teluk Panglima Garang, Banting kira-kira jam 1 pagi ini.
Bilik Kawalan pasukan Bomba dan Penyelamat Telok Panglima Garang menerima panggilan mengenai insiden itu 11 minit kemudian.
Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Telok Panglima Garang berkata, Bilik Kawalan pasukan Bomba dan Penyelamat menerima panggilan mengenai insiden itu 11 minit kemudian.
“Selepas tiba di lokasi kejadian jam 1.15 pagi, mendapati kereta itu telah terjatuh dan terbabas ke bawah jejantas lebuhraya dan terbakar 100 peratus.
“Selepas selesai memadamkan kebakaran kereta itu dan keadaan terkawal, anggota menemui mayat empat orang mangsa tempatan dalam keadaan rentung di dalam kereta terbakar itu yang identitinya tidak dapat dikenalpasti.
“Kerja-kerja mengeluarkan mayat mangsa telah selesai dilaksanakan dan seterusnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya kesemua mayat dikeluarkan menggunakan peralatan pemotong hidraulik dan diserahkan kepada dua anggota polis yang dipanggil ke lokasi insiden. – MalaysiaGazette