Home SISWA 1,180 warga UMS sertai program Jom Baca

1,180 warga UMS sertai program Jom Baca

Warga UMS menjayakan Program Jom Baca Bersama 10 Minit secara dalam talian.

KUALA LUMPUR – seramai 1,180 warga Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah bersama-sama menjayakan program Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit secara maya yang berlangsung serentak di seluruh negara baru-baru ini.

Program ini diselaraskan oleh Perpustakaan UMS sejak tahun 2014 melibatkan penyertaan kakitangan dan pelajar UMS di Kampus Induk Kota Kinabalu, Kampus Antarabangsa Labuan dan Kampus Sandakan melalui platform digital iaitu Cisco Webex dan Facebook Live.

Bertemakan “Baca Itu Terapi’’, program yang dianjurkan bersama-sama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia itu adalah satu usaha dalam menyokong saranan KPM dalam menjadikan Malaysia sebagai negara membaca menjelang tahun 2030.

Program tersebut turut diselaraskan sebagai salah satu acara di dalam Program Cintai Ilmu Jabatan Perpustakaan bagi tahun 2021 yang bermula pada April hingga Disember 2021, kata UMS.

Program pada tahun ini turut mempertandingkan Anugerah Penyertaan Terbanyak di Jabatan, Fakulti, Pusat, Institut dan Bahagian (JFPIB) di UMS yang akan dinilai berdasarkan
jumlah penyertaan yang diperolehi daripada polling attendance serta Google Form.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk ChM. Dr. Taufiq Yap Yun Hin memuji komitmen warga UMS itu sambil menyifatkan program seumpama itu mampu mewujudkan masyarakat Malaysia yang maju dan kaya maklumat.

”Program ini juga bertujuan untuk mendorong warga kampus UMS khususnya dan rakyat Malaysia amnya untuk membaca, dimulai dengan langkah awal selama 10 minit sebagai tanda komitmen semua pihak terhadap kepentingan membaca dalam kehidupan seterusnya menerapkan nilai dan budaya cinta akan buku dan cinta akan ilmu.

”Seharusnya usaha ini diangkat sebagai agenda penting dalam pembangunan negara dan perlu dijadikan fokus utama dalam usaha mentransformasikan pemikiran rakyat supaya cinta akan buku agar dapat melahirkan masyarakat yang berbudaya membaca dan berilmu,” kata Taufiq.

Terdahulu, Ketua Pustakawan UMS, Zawawi Tiyunin turut berpendapat semua pihak harus menggalas peranan untuk menyemarakkan dan menggalakkan aktiviti membaca dan mencintai ilmu agar menjadi amalan dan budaya dalam kehidupan.

”Sebagai warga sebuah institusi pengajian tinggi maka kita semua seharusnya menjadi contoh teladan yang baik kepada ahli keluarga dan juga masyarakat di luar dalam memupuk
budaya pembacaan dan cintakan ilmu pengetahuan,” ujar Zawawi.- MalaysiaGazette