Home Nasional ABIM rayu campur tangan Agong

ABIM rayu campur tangan Agong

Muhammad Faisal Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merayu jasa baik Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah untuk campur tangan dalam isu-isu campur tangan Menteri Dalam Negeri dalam urusan perjawatan dalam Polis Di Raja Malaysia (PDRM).

Rayuan ini dibuat demi mengangkat kembali maruah PDRM, kata Presiden ABIM Muhammad Faisal Abdul Aziz.

Menurutnya, pendedahan yang dibuat oleh Tan Sri Abdul Hamid Bador itu telah mencemarkan nama baik PDRM sebagai institusi utama negara dalam mengangkat kedaulatan undang-undang.

Malah pendedahan berkenaan, katanya, pasti boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap kredibiliti PDRM termasuk keyakinan pelabur luar terhadap prinsip kedaulatan undang-undang negara serta kesan-kesan besar lain yang bersifat jangka panjang.

”Justeru, atas keperihatinan kita terhadap masa depan negara dan rakyat serta keutuhan kredibiliti PDRM, ABIM berkeyakinan hasrat ini dikongsi seluruh rakyat jelata yang meletakkan harapan yang tinggi kepada pihak Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara untuk mempertahankan maruah dan integriti PDRM,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambah Muhammad Faisal, ABIM sentiasa berpendirian bahawa mana-mana institusi penguatkuasaan undang-undang negara seharusnya bersifat neutral dan bebas daripada campur tangan politik agar institusi tersebut dapat menegakkan kedaulatan undang-undang tanpa rasa takut atau memihak seperti mana yang digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan. – MalaysiaGazette