Home Utama Covid-19: Lebih 20 kes rujuk ICU seminggu ini – KKM

Covid-19: Lebih 20 kes rujuk ICU seminggu ini – KKM

KUALA LUMPUR – Lebih daripada 20 kes dirujuk di wad unit rawatan rapi Hospital Sungai Buloh setiap hari dalam tempoh seminggu ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini seramai 63 pesakit di ICU dan lebih daripada 25 pesakit kritikal untuk dipantau di wad biasa dan Jabatan Kecemasan di Hospital Sungai Buloh.

Sementara itu, menerusi Facebook, Kementerian Kesihatan berkongsi gambar-gambar keadaan di wad kecemasan di hospital itu.

”Semoga petugas kesihatan terus diberi kekuatan untuk menghadapi situasi getir ini,” menurut KKM.

Menurut KKM, hospital itu semakin kehabisan katil dan meminta semua orang kekal menjaga kesihatan masing-masing.

Dalam status yang dimuat turun sebelum itu, KKM berkata, terdapat 277 katil rawatan kritikal/ ICU untuk pesakit Covid-19 dan bukan Covid-19 di Lembah Klang.
Daripada jumlah ini, 152 katil rawatan kritikal/ICU diperuntukkan untuk pesakit Covid19 dengan kadar penggunaan semasa mencapai lebih daripada 88% pada 1 Mei 2021.

Katanya, KKM sentiasa memantau penggunaan dan ketersediaan katil rawatan kritikal/ICU dan bukan kritikal bagi pesakit Covid-19 di Lembah Klang ini melalui Pusat Kawalan Bersepadu COVID-19 atau Unified Command Centre (UCC) Wilayah Tengah. – MalaysiaGazette