Home Politik Jangan flip flop selepas mansuh UPSR, batal PT3 – Zahid

Jangan flip flop selepas mansuh UPSR, batal PT3 – Zahid

The President of UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi frog party-hopping
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) manakala Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dibatalkan untuk tahun ini perlu dilakukan secara berkesan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu memikirkan mekanisma dan penilaian terbaik sebelum murid memasuki sekolah menengah atau sekolah berasrama penuh.

“Bagi pelajar yang memasuki tingkatan empat, apakah mekanisma yang diperlukan untuk membahagikan mereka ke aliran sains tulen, perakaunan, perdagangan dan sebagainya.

“Saya difahamkan setakat ini kaedah yang digunakan adalah pemerkasaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK).

“Lebih penting jangan flip flop seperti yang dilakukan ke atas Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Jangan jadi telur separuh masak lagi.

“Bukan apa cuma bimbang, hari ini mansuhkan UPSR dan batalkan PT3. Apabila hasilnya tidak memberangsangkan berpatah semula kepada peperiksaan asal. Pada waktu itu mungkin sedikit malu apatah lagi ada dalam kalangan netizen sudah membuat poster UPSR 1988-2021 dalam kenangan. Apa yang kita tidak mahu, ia akan memeningkan golongan guru serta murid, harapnya tidak begitu,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

“Besar harapan agar pemansuhan ini menjadi permulaan dan pengurangan terhadap kebergantungan sistem peperiksaan sebagai penilaian.

“Penilaan seharusnya tidak tertumpu kepada kognitif semata-mata tetapi domain yang lain perlu diberi penekanan. Dalam bahasa yang mudah tingkatkan asas kemahiran bagi melahirkan modal insan cemerlang.

“Fokus, tumpuan dan perhatian yang lebih terbaik harus diberikan kepada setiap murid, jangan sampai ada di kalangan mereka yang ketinggalan serta tidak dapat menguasai dalam setiap matapelajaran,” katanya.- MalaysiaGazette