KUALA LUMPUR – Puspakom menganjurkan kempen Pemeriksaan Kenderaan Secara Sukarela (Voluntary Vehicle Inspection – VVI) percuma sempena Hari Raya Aidilfitri mulai hari ini.
Kempen VVI percuma ini dianjurkan khusus untuk kenderaan persendirian di mana pemilik-pemilik kenderaan boleh membawa kenderaan mereka di mana-mana cawangan PUSPAKOM seluruh negara (kecuali Puspakom Shah Alam dan Pasir Gudang) untuk
menjalani pemeriksaan percuma ini.
Kempen ini berlangsung sehingga 12 Mei 2021 dari jam 8 pagi hingga 5 petang.
”Walaupun musim perayaan ini kita tidak dibenarkan merentas negeri untuk pulang ke kampung, namun keselamatan kenderaan masih perlu dititikberatkan kerana kenderaan masih lagi digunakan untuk bergerak melakukan aktiviti harian seperti pergi bekerja dan membeli barang keperluan,” kata Puspakom.
Bagi memastikan para pelanggan yang hadir pemeriksaan mematuhi prosedur operasi standard yang di tetapkan
oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan juga bagi mengelak daripada kesesakan di cawangan Puspakom, semua pelanggan yang mahu menjalani pemeriksaan percuma ini dikehendaki membuat temujanji secara dalam talian terlebih dahulu di
www.mypuspakom.com.my.
Fi pemprosesan MyPUSPAKOM yang dikutip pada waktu tempahan akan dipulangkan setelah pemeriksaan selesai.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Shukor Ismail VVI secara percuma ini diadakan bagi mengubah minda masyarakat.
”VVI secara percuma ini dianjurkan untuk kita mengubah persepsi masyarakat dan meningkatkan kesedaran serta kefahaman mereka terhadap aspek keselamatan kenderaan.
Kenderaan bukan hanya perlu diselenggara pada musim perayaan, atau sebelum memulakan perjalanan jauh, tetapi juga harus menjalani pemeriksaan secara berjadual.
Ini akan memastikan keadaan kenderaan beroperasi pada tahap yang terbaik.
Terdapat 25 item yang akan diperiksa iaitu termasuk ujian brek, gelincir sisi, tayar, suspensi, asap , lampu, cermin gelap, bahagian atas dan bawah kenderaan dan banyak lagi, katanya.
Selain di cawangan, Unit Pemeriksaan Bergerak Puspakom akan turut berada di dua lokasi bagi menawarkan pemeriksaan percuma ini iaitu di Wisma DRB-HICOM, Shah Alam pada 3 Mei dan di Pekarangan Stadium Cheras, Kuala Lumpur pada 8 Mei 2021 dengan kerjasama Persatuan Pengguna Jalan Raya Kebangsaan (PPJK).
Unit Pemeriksaan Bergerak ini akan beroperasi dari jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang pada tarikh tersebut. – MalaysiaGazette