KUALA LUMPUR – Pasukan pelajar dari jurusan teknologi elektrik di Kolej Vokasional Keningau berjaya melayakkan diri ke pertandingan Hackathon anjuran Save Philippine Seas yang berpangkal di negara Filipina yang akan berlangsung dari 24 April hingga Jun ini.
Fokus pertandingan hackathon tersebut yang dikenali sebagai Haquathon 2.0 (H20) adalah penyelesaian masalah berkaitan dengan persisiran pantai dan laut termasuklah penjimatan air.
Penyertaan pertandingan adalah terhad untuk lima negara sahaja iaitu Filipina, Indonesia, Thailand, Vietnam dan Malaysia.
KV Keningau akan diwakili oleh Warren Junior Patin, Andi Fazirah Usman dan Vannie Verus.
Mereka akan bertanding untuk merebut geran berjumlah lebih kurang RM8,000 yang akan diberikan kepada lima pemenang.
Terdapat 13 pasukan yang bertanding dengan projek masing-masing.
Senarai projek yang dipertandingkan bolehlah dirujuk di laman web Save Philippine Seas: https://www.savephilippineseas.org/haquathon2
Pasukan KV Keningau akan mempertaruhkan projek “Mechanical Water Veins” iaitu sejenis alat yang mampu mengawal penyiraman tanaman dalam rumah secara automatik.
Ia juga menggunakan semula air sisa untuk mengelakkan pembaziran air.
Pada masa yang sama, alat ini dapat mengalakkan orang ramai khususnya mereka yang menetap di kawasan bandar agar mewujudkan taman dalaman kerana ia memudahkan mereka untuk memastikan tanaman sentiasa disiram mengikut waktu yang sepatutnya.
Tujuan utama mereka menghasilkan alat ini untuk memelihara alam sekitar melalui penjimatan air serta menggalakkan amalan tanaman dalaman terutamanya di kawasan perumahan bandar yang lebih terdedah dengan pencemaran udara dan pembaziran air. – MalaysiaGazette