KUALA LUMPUR – Majlis Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil Sederhana (MPUPK) akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan inisiatif bagi membantu menyegerakan pemulihan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melibatkan semua pemegang taruh yang terlibat dalam ekosistem keusahawanan.
Selain itu, MPUPK turut memberi penelitian terhadap prestasi dan prospek ekonomi Malaysia serta isu dan cabaran yang dihadapi bagi tahun 2021.
Ini termasuk menekankan supaya aktiviti dan ekosistem pembiayaan perniagaan daripada sektor kewangan perlu lebih kondusif bagi menyokong pemulihan ekonomi negara.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan memandang serius masalah yang dihadapi PKS yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.
Katanya, usaha pemulihan juga akan ditumpukan kepada usahawan mikro dan informal yang terjejas di seluruh negara.
Berdasarkan kaji selidik yang dilaksanakan oleh Medac, sebanyak 52.7% usahawan yang majoritinya adalah perusahaan mikro dan informal, terjejas teruk sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.
Menurutnya, prestasi eksport PKS dianggar menurun kepada 13.4% pada tahun 2020, susulan impak negatif pandemik Covid-19 ke atas usahawan dan PKS tempatan.
Sebelum pandemik, sumbangan PKS terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah sebanyak 38.9% pada tahun 2019 dan dianggarkan kekal di antara 38.1% hingga 38.7% pada tahun 2020.
Sumbangan eksport bagi barangan dan perkhidmatan PKS adalah 17.9% manakala sumbangan kepada guna tenaga di Malaysia sebanyak 48.4%.
MPUPK merupakan platform tertinggi di peringkat nasional yang turut dianggotai menteri-menteri persekutuan, Timbalan Ketua Menteri Sabah dan Sarawak, Ketua Setiausaha Negara dan Gabenor Bank Negara, berperanan meluluskan dasar, strategi dan pelan tindakan berhubung pembangunan holistik usahawan dan PKS merentasi semua sektor ekonomi.
Melalui MPUPK, penglibatan sektor swasta akan dipertingkatkan bagi menyokong agenda pembangunan keusahawanan negara yang berdaya saing dan mampan.
Wan Junaidi berkata, MPUPK turut memberi penelitian terhadap prestasi dan prospek ekonomi Malaysia serta isu dan cabaran yang dihadapi bagi tahun 2021.
Dalam hal ini, majlis ini turut menekankan supaya aktiviti dan ekosistem pembiayaan perniagaan dari sektor kewangan perlu lebih kondusif bagi menyokong pemulihan ekonomi negara.
Pada tahun 2020, institusi kewangan telah mengeluarkan pinjaman berjumlah RM257 billion kepada PKS, termasuk pinjaman di bawah Dana Khas Bank Negara Malaysia untuk PKS.
Daripada jumlah tersebut RM67 billion adalah merupakan pinjaman yang baru pertama kali diluluskan kepada lebih 146,000 PKS selaras dengan permintaan pinjaman yang meningkat untuk modal kerja dalam persekitaran yang mencabar pada ketika negara menghadapi pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette