LOS ANGELES – Tiga orang terbunuh manakala 24 yang lain diberi rawatan selepas kapal penyeludup terbalik di pantai San Diego.
Jurucakap Jabatan Penyelamat Bomba San Diego, Monica Munoz berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu berhampiran Monumen Nasional Cabrillo di Point Loma, satu-satunya Taman Nasional San Diego. sekitar jam 10:27 pagi (1:27 pm ET).
Kapal yang membawa kira-kira 30 orang itu dikatakan pecah selepas melanggar batu karang.
“Ini adalah operasi besar-besaran memandangkan kapal setinggi 41 kaki itu hancur,” kata James Gartland, Ketua Penyelamat San Diego.
Difahamkan sebilangan besar penumpang berenang ke pantai manakala enam terpaksa diselamatkan kerana arus deras.
“Keadaan pun agak mencabar kerana cuaca sejuk dan berangin,” katanya.
Operasi menyelamat di laut dan udara masih dijalankan untuk mencari baki mangsa.
Sementara itu, Penyelia dan Ejen Peronda Sempadan San Diego. Jeff Stephenson berkata, kapal itu dipercayai terlibat dalam menyeludup migran ke Amerika Syarikat secara haram.
Individu yang dipercayai mengendalikan kapal itu telah ditahan, kata polis.
Namun setakat ini butir-butir mangsa masih belum didedahkan oleh pihak berkuasa. – MalaysiaGazette