Home Nasional Pemberian vaksin dilaksana berdasarkan bekalan – Khairy

Pemberian vaksin dilaksana berdasarkan bekalan – Khairy

Sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), hari ini

KUALA LUMPUR – Pemberian suntikan vaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilaksanakan berdasarkan bekalan vaksin yang diterima daripada syarikat pengeluar.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, dakwaan kerajaan enggan segera memberikan suntikan kepada rakyat di negara ini tidak berbangkit.

“Saya ingin nyatakan bukan kadar vaksinasi yang rendah, cuma bekalan vaksin, penghantaran yang mengikut jadual.

“Ada tanggapan di luar sana, selepas kejayaan tempahan AstraZeneca, kalau diberi peluang, semua hendak diberi awal.

“Saya faham. Bukan soal kita tidak mahu beri vaksinasi cepat tapi isunya adalah bekalan,” katanya pada sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), hari ini.

Hadir pada sidang media itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Menurut Khairy, setakat hari ini, Malaysia sudah menerima sebanyak 1,938,660 dos daripada Pfizer-BioNTech, Sinovac, dan AstraZeneca dan seramai 1,453,382 orang telah menerima vaksin.

Tambah beliau, ia menunjukkan kadar penggunaan adalah 75 peratus manakala, 25 peratus lagi disimpan untuk janji temu yang disusun berdasarkan jadual penghantaran vaksin.

“Bagi meningkatkan kadar pemberian vaksin, kita akan mendorong pengambilannya sehingga 80 peratus selepas Aidilfitri.

“Kalau kadar penggunaannya 10 peratus, adil untuk mengatakan ia sangat lambat.

“Bagaimanapun, kadar penggunaannya pada 75 peratus dan kita akan mendorongnya sehingga 80 peratus selepas hari raya kerana ketika ini berlaku kekangan disebabkan kes Covid-19 meningkat, kekangan tenaga kerja dan sebagainya,”jelasnya.

Dengan memberikan contoh, Khairy berkata, pusat pemberian vaksin (PPV) untuk AstraZeneca, kerajaan telah membenarkan klinik swasta mengendalikan PPV vaksin menerusi Protect Health, iaitu anak syarikat Kementerian Kesihatan (KKM). – MalaysiaGazette