Home Nasional Pemohon vaksin AstraZeneca akan terima notifikasi MySejahtera – Khairy

Pemohon vaksin AstraZeneca akan terima notifikasi MySejahtera – Khairy

Vaksin AstraZeneca

KUALA LUMPUR – Pemohon yang sudah mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin AstraZeneca akan menerima notifikasi janji temu pemberian imunisasi tersebut menerusi aplikasi MySejahtera.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, kemas kini itu akan dibuat secara berperingkat sepanjang hari ini.

“Pemohon juga diminta menghubungi Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAVMY) sekiranya berdepan sebarang isu berkaitan janji temu itu,” katanya menerusi ciapan di Twitter, hari ini.

Vaksin AstraZeneca yang ditawarkan kerajaan secara sukarela dan terbuka kepada rakyat menerusi pendekatan ‘siap cepat dia dapat’ menerima sambutan baik apabila kesemua 268,000 slot pendaftaran imunisasi terbabit habis ditempah kurang empat jam selepas pendaftaran dibuka bermula 12 tengah hari.

Khairy turut memohon maaf kepada rakyat yang tidak sempat mendaftar untuk mendapakan vaksin itu.

Bagaimanapun, katanya, tambahan satu juta bekalan dos AstraZeneca akan tiba ke Malaysia bulan ini melalui inisiatif Covax. – MalaysiaGazette