Home Seni Hidup Amal jariah Hanzaal Spice Garden sepanjang Ramadan

Amal jariah Hanzaal Spice Garden sepanjang Ramadan

KUALA LUMPUR – Pastinya kehadiran bulan Ramadan membawa erti mendalam serta peluang untuk umat Islam melipatgandakan amalan.

Malah antara yang dilakukan adalah amal jariah seperti sedekah dan menjamu orang berbuka puasa perlu dilaksanakan bagi meraih keberkatan Ramadan.

Itulah yang menjadi dorongan serta panduan kepada pemilik restoran ala fine dining, Hanzaal Spice Garden di Ampang, Ibrahimshah Syed Mohamad untuk terus melakukan sedekah dan sumbangan pada bulan mulia ini.

“Ramadan perlu disambut dengan penuh kegembiraan. Orang yang berasa gembira dengan kehadiran Ramadan membuktikan dirinya tahu kelebihan bulan Ramadan berbanding bulan lain.

“Pintu kebaikan dibuka seluas-luasnya dengan gandaan pahala ditawarkan kepada mereka yang melakukan kebaikan dalam bulan Ramadan.

“Untuk makluman, restoran ini baharu sahaja dibuka ketika negara sedang berdepan dengan pandemik Covid-19 malah untuk lebih tepat lagi ianya dilancarkan ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama, ketika itu memang tidak dijangka akan berlakunya krisis seperti ini kerana perancangan untuk Hanzaal Spice Garden sudah lama.

“Kerana itu, kita di Hanzaal Spice Garden yang sememangnya terkenal dengan Briyani Daun Pisang bertekad dan sungguh komited malah ayat yang lebih tepat adalah teruja dan syukur untuk menjemput golongan anak yatim dan orang tua untuk merasai sendiri makanan ala bufet ketika berbuka di sini.

“Kita juga pergi sendiri dan menyumbang kepada rumah-rumah anak yatim dan warga tua di lokasi lain juga, ada juga dalam kalangan kawan-kawan serta kenalan yang ingin bantu Hanzaal Spice Garden menyumbang.

“Pada kami, pastinya Ramadan ini memberi sinar besar kepada Hanzaal Spice Garden untuk terus melakukan amal jariah, apabila diri kita dipilih untuk berada dalam bulan Ramadan, ia sesuatu perkara yang perlu disyukuri.

“Pastinya apa yang terjadi terutamanya ketika musim PKP ada hikmah disebaliknya, lebih banyak kita bersedekah dan lakukan amal jariah lebih banyak kebaikan kita akan terima dalam pelbagai bentuk, Insya-Allah,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Hanzaal Spice Garden juga ada menyumbang briyani ayam dan kambing ‘Kaatu Briyani’ yang menjadi hidangan popular restoran ini untuk warga MalaysiaGazette baru-baru ini sebagai juadah berbuka puasa.

Bufet berbuka puasa ini bukan sahaja menyediakan makanan percuma untuk golongan miskin, tua dan anak-anak yatim malah turut mengalu-alukan masyarakat umum untuk menikmati lebih 30 jenis masakan tempatan dan barat dengan harga RM34.90 untuk dewasa manakala kanak-kanak pula RM24.90.

Bagi kanak-kanak bawah enam tahun pula bufet ini percuma.

“Walaupun kami baru tetapi sokongan serta penerimaan kita sebenarnya agak luar biasa sekali, sememangnya kami lebih daripada bersyukur dengan galakan diterima.

“Ada kalanya kita seperti tidak menang tangan pula, walaupun ada bufet kita juga terima panggilan tempahan sana sini, syukur Alhamdulillah,” ujarnya.

Selain daripada dine in, pilihan makanan Hanzaal Spice Garden juga boleh di tempah melalui aplikasi perkhidmatan makanan sedia yang mula beroperasi dari jam 11 pagi sehingga 11 malam. -MalaysiaGazette