Home Nasional Ambil kira pandemik dalam kajian gaji minimum – Shafie

Ambil kira pandemik dalam kajian gaji minimum – Shafie

Mohamed Shafie BP Mammal

KUALA LUMPUR – Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) berharap kerajaan akan mengambil kira pelbagai perkembangan pada hari ini, termasuk impak ekoran pandemik Covid-19 supaya satu kadar gaji yang lebih munasabah dan mesra pekerja ditawarkan.

Pengumuman oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam adalah selari dengan harapan dan saranan UNI-MLC yang digariskan dalam perutusan sempena Hari Pekerja 2021.

Presidennya, Datuk Shafie BP Mammal berkata, UNI-MLC melihat ada keperluan yang mendesak agar kadar gaji permulaan atau minimum pekerja dikaji semula, yang mana kadar RM1,250 pada masa sekarang adalah terlalu rendah.

Malah ada majikan yang membayar upah dan gaji yang lebih rendah daripada paras gaji minimum yang ditetapkan oleh kerajaan dan ia sangat tidak adil dan mengecewakan.

”Kami di UNI-MLC faham cabaran dialami majikan, tetapi pihak majikan juga wajar menjaga kepentingan pekerja, yang merupakan aset yang amat penting dalam proses pembangunaan organisasi dan pembinaan negara.

”UNI-MLC juga mahu kerajaan campur tangan bagi menjamin gaji kesemua pekerja terjamin, bukan hanya gaji minimum,” katanya yang menyambut langkah kerajaan yang sedang mengkaji semula kadar gaji minimum pekerja bagi memastikan ia kekal relevan dengan keadaan sosioekonomi semasa.

Shafie berkata, majikan perlu ada semangat perkongsian pintar dalam menyediakan ekosistem upah dan gaji yang bersifat kemanusiaan, jangan hanya mengutamakan dan mementingkan keuntungan semata-mata.

Sebaliknya, kini adalah masa untuk berkorban bagi menyediakan upah yang lebih baik dan menghargai sumbangan pekerja.

”UNI-MLC juga yakin bahawa penyediaan kadar upah dan gaji yang kondusif akan menyediakan persekitaran Malaysia tidak bergatung sepenuhnya kepada buruh asing dalam jangka panjang,” ujarnya yang turut menyambut baik pengumuman mengenai semakan Akta Kerja 1955.

Jelasnya, langkah itu selari dengan saranan UNI-MLC yang meminta kerajaan agar mengkaji semula kesemua undang-undang buruh, termasuk Akta Kesatuan Sekerja, Akta Perhubungan Perusahaan dan Akta Perkeso.

Semakan holistik ini wajar dan amat diperlukan dengan mengambil kita perkembangan, keperluan dan cabaran semasa, yang antara diakibatkan oleh impak Covid-19, Revolusi Perindustrian 4.0, dan digitalisasi.

UNI-MLC, juga mahu kerajaan mengadakan sesi libat urus dan perbincangan bersama kesatuan sekerja dalam melaksanakan perkara-perkara yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri.

Dengan itu, Kementerian Sumber Manusia perlu segera memanggil mesyuarat Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) bagi membincangkan bersama isu dan perkara berkaitan dengan pekerja di negara ini. – MalaysiaGazette