Home Sukan Jangan pandang rendah kemampaun Perak FC – Kalamullah

Jangan pandang rendah kemampaun Perak FC – Kalamullah

Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.

KUALA LUMPUR – Penjaga gol PJ City FC, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi tidak memandang rendah kemampuan Perak FC dalam aksi Liga Super pada malam esok meskipun lawan mereka itu sedang dilanda masalah prestasi.

Di atas kertas, PJ City dilihat lebih konsisten untuk kini menghuni tangga keenam liga berbanding Perak yang berada di kedudukan ketiga tercorot rentetan kekalahan berterusan dalam dua perlawanan terakhir.

Namun, penjaga gol berusia 26 tahun ini tetap berwaspada dengan kebangkitan yang mungkin akan dilakukan Perak disebalik tekanan yang mereka sedang hadapi dan semua pemain perlu kekal fokus untuk menguasai keseluruhan perlawanan itu nanti.

Kalamullah setakat ini telah bolos 13 gol dalam 11 perlawanan sambil menyifatkan dua gol pada saat akhir yang dilakukan oleh Selangor FC tempoh hari tidak boleh berulang pada saat pasukan sebenarnya sedang menghampiri kemenangan.

“Memang kami tidak boleh pandang rendah terhadap Perak sebab mereka sebenarnya mempunyai pemain-pemain yang kuat dan apa-apa sahaja boleh berlaku.

“Sekarang kami perlu lebih fokus sebab punca kita kalah dengan Selangor tempoh hari adalah apabila kita terlampau rasa kita boleh menang dan lalai pada minit-minit terakhir sehingga mereka dapat menang dengan dua gol.

“Untuk saya sendiri, dengan prestasi dalam 11 perlawanan sekarang saya berpuas hati sebab bukan senang sebenarnya untuk menghadapi penyerang-penyerang import lawan yang ada sebelum-sebelum ini dan saya harap akan dapat terus beri yang terbaik kepada pasukan,” jelasnya.

Sementara itu, pengendalinya P. Maniam mengesahkan akan ada beberapa perubahan pemain untuk perlawanan pada malam esok memandangkan kapten pasukan, K Gurusamy digantung perlawanan selepas mengumpul tiga kad kuning setakat ini.

Salamon Raj atau Ahmad Sukri Ab Hamid dilihat akan mengisi ketiadaan Gurusamy dalam memastikan pasukan mampu meraih tiga mata di laman sendiri.

“Kita kena buat beberapa perubahan sikit selepas Gurusamy tidak boleh diturunkan, tetapi saya boleh katakan setakat ini tidak kira siapa pemain gantian yang kita masukkan, mereka akan beri persembahan terbaik di atas padang.

“Mungkin Salamon atau Sukri akan menggantikan Gurusamy, kita tengok dahulu macam mana nanti, yang penting pasukan kena tetap fokus kerana kita tahu Perak mempunyai pemain import yang bagus juga dan kita tidak mahu tersungkur sekali lagi”, katanya.

Selain aksi antara PJ City FC dan Perak FC pada malam esok, dua lagi perlawanan turut akan berlangsung membabitkan Sabah FC yang akan menentang Melaka United FC manakala Selangor FC akan berkunjung ke Stadium Darul Makmur berdepan Sri Pahang FC. – MalaysiaGazette