Home Nasional Kerajaan tak tolak kemungkinan harga pakej umrah naik – Zulkifli

Kerajaan tak tolak kemungkinan harga pakej umrah naik – Zulkifli

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri (dua kiri) menyampaikan sumbangan kepada penerima, Sabri Yusuf (dua kanan) pada Penyampaian Sumbangan Aidiilfitri Asnaf Putrajaya di Surau Al-Muttaqin, Putrajaya. Foto SYAFIQ AMBAK, 04 MEI 2021.

PUTRAJAYA – Kerajaan tidak menolak kemungkinan berlaku kenaikan harga pakej menunaikan umrah ekoran syarat tambahan yang dikenakan kerajaan Arab Saudi sebagai langkah keselamatan menghadapi pandemik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata, tidak dapat dinafikan keadaan itu akan berlaku dan perlu dilihat terlebih dahulu realitinya.

Menurutnya, masalah tersebut berkaitan antara pakej dengan mereka yang berhubungan dengan sewaan  selain sedikit sahaja berkenaan dengan hal-hal yang berkait masalah teknikal.

“Setakat ini umrah belum dibuka secara rasmi, jadi apa pun keputusan sebagaimana yang kita lihat memang sudah barang tentu berlaku pandemik seperti ini beberapa kos-kos diluar jangkaan juga akan berlaku.

“Hal ini akan diperincikan dari satu persatu, Insyallah apabila ia dibuka lagi realistiklah jawapannya.

“Apa-apa pun, mungkin prosedur operasi standard (SOP) yang kita buat itu boleh menampakkan bahawa mungkin disana keperluan sedikit-sedikit tambahan itu akan ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyampaian sumbangan Aidilfitri asnaf di Surau Al-Muttaqin, Presint 5, dekat sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Pengerusi Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham mengenai pakej menunaikan umrah pasca Covid 19 dijangka meningkat sekali ganda berikutan pelbagai syarat tambahan ditetapkan kerajaan Arab Saudi sebagai langkah keselamatan menghadapi wabak itu.

Menurut Razali, sebelum pandemik harga pakej biasa ditawarkan pada kadar RM5,800 tetapi pasca Covid-19 harga kini mencecah RM10,800.

Ujarnya, bayaran itu termasuk dua kali ujian saringan Covid-19, kos bilik daripada empat sebilik kepada dua orang sebilik dan kapasiti pengangkutan dikurangkan separuh serta kos untuk kuarantin tiga hari di Arab Saudi.

Tambah beliau, pihaknya turut dimaklumkan mengenai insurans untuk Covid-19 yang secara langsung menyebabkan kos meningkat dan tidak dapat dielakkan.

Terdahulu, pada majlis Ramadan MAIWP bersama komuniti Siri 4 itu, seramai 50 orang asnaf menerima bantuan sumbangan kewangan dan barangan makanan.

Turut disampaikan bantuan Ihya Ramadan kepada Surau Al-Muttaqin sebanyak RM500. – MalaysiaGazette