Home Nasional Lima Geng Ah Kit ditahan pecah rumah di siang hari

Lima Geng Ah Kit ditahan pecah rumah di siang hari

Antara barang yang dirampas oleh pihak polis selepas kejayaan menumpaskan Geng Ah Kit yang aktif menjalankan kegiatan pecah rumah dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang. Foto MOHD ADZLAN, 04 MEI 2021.

SERDANG – Polis berjaya menumpaskan Geng Ah Kit yang terbabit melakukan jenayah pecah rumah dengan penahanan lima suspek termasuk seorang wanita dalam serbuan yang dijalankan di Kampung Gurney, Ulu Yam Bharu, Batang Kali.

Pemangku Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Mohd Rosdi Daud berkata, bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan pegawai dan anggota telah melakukan serbuan di sebuah kediaman pada jam 11.30 pagi Khamis lalu.

Menurutnya, keempat-empat suspek lelaki terbabit berusia di antara 35 hingga 46 tahun manakala suspek wanita merupakan seorang suri rumah berumur 50 tahun.

“Berdasarkan pengakuan yang dibuat, kumpulan ini akan bergerak dengan menaiki sebuah kereta ke kawasan perumahan, kemudian salah seorang daripada mereka akan menekan loceng bagi memeriksa sama ada kediaman itu berpenghuni atau tidak.

“Jika tiada orang, mereka akan mula mengumpil pintu hadapan rumah untuk memecah masuk,” katanya menerusi sidang media di IPD Serdang hari ini.

Tambah Mohd Rosdi, kumpulan terbabit dipercayai aktif melakukan kegiatan jenayah pecah rumah sejak tujuh bulan lalu di sekitar daerah ini pada siang hari.

Pemangku Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Mohd Rosdi Daud menunjukkan barang rampasan selepas pihak polis berjaya menumpaskan Geng Ah Kit yang aktif menjalankan kegiatan pecah rumah dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang. Foto MOHD ADZLAN, 04 MEI 2021.

Katanya, menerusi serbuan yang dijalankan, polis turut merampas dua buah kereta jenis Perodua Myvi dan Toyota Vios, tiga buah komputer riba, lima buah tablet, lapan buah telefon bimbit, pelbagai aksesori wanita, dua bilah parang dan 30 utas jam tangan.

“Nilai rampasan kita anggarkan sekitar RM113,000.

“Justeru, susulan penahanan Geng Ah Kit ini, sekurang-kurangnya 19 kes pecah rumah di siang hari dalam daerah ini berjaya kita selesaikan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Mohd Rosdi berkata, hasil semakan mendapati keempat-empat suspek lelaki terbabit mempunyai rekod jenayah lampau berkait Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Katanya, ujian air kencing terhadap tiga suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – Malaysia Gazette