KUALA LUMPUR – Tiada sebarang bayaran atau sagu hati diterima oleh polis menerusi sebuah video Tik Tok yang tular di laman sosial memaparkan adegan raya seorang instafamous bersama tiga anggotanya.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali berkata, hasil semakan, seorang lelaki yang menaiki kereta jenis Honda City berwarna putih melakonkan adegan raya bersama dua anggota polis dan seorang anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang lengkap beruniform.
Menurutnya, ketiga-tiga anggota berkenaan sedang bertugas dalam Team Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.
“Lokasi adegan raya ini dilakonkan di Bukit Rimau, Presint 3, Putrajaya pada Ahad lalu. Video tersebut telah mendapat kecaman netizen kerana pelakon tidak memakai pelitup muka serta mempersendakan alasan-alasan yang diberikan bagi tujuan rentas negeri.
“Tiada sebarang bayaran atau saguhati terlibat atau diterima oleh pihak polis dalam hal ini. Ketua Polis Daerah Putrajaya tidak pernah membenarkan video tersebut dirakam atau dikeluarkan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Fadzil berkata, lelaki terbabit telah dipanggil memberi keterangan di IPD Putrajaya dan dikompaun atas kesalahan melanggar SOP iaitu tidak memakai pelitup muka.
Terdahulu sebuah video berdurasi dua minit 21 saat menjadi tular di laman sosial memaparkan aksi seorang instafamous lelaki yang juga usahawan produk kosmetik memegang plakad dengan pelbagai alasan kononnya ingin merentas negeri.
Dalam video tersebut turut kelihatan tiga anggota bertugas dengan berpakaian uniform lengkap meminta instafamous berkenaan berpatah balik selain ada adegan mereka menikmati juadah raya bersama-sama.
Video berkenaan mendapat pelbagai reaksi netizen dengan rata-ratanya mengecam instafamous terbabit yang tidak memakai pelitup muka selain dianggap mempersenda alasan untuk merentas negeri. – MalaysiaGazette