Home Nasional CAP gesa banteras aktiviti pencerobohan bot pukat Apollo

CAP gesa banteras aktiviti pencerobohan bot pukat Apollo

Pangkalan nelayan Sungai Belanak yang diancam bot pukat Apollo. - Gambar ihsan CAP

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Perikanan dan Maritim Malaysia (APMM) mengambil tindakan segera membanteras aktiviti pencerobohan bot pukat Apollo di perairan negeri ini yang dilaporkan semakin berleluasa.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, pencerobohan itu menyebabkan pendapatan lebih 500 nelayan pantai terjejas melebihi 50 peratus setiap kali turun ke laut kerana ikan, udang dan ketam yang menjadi sumber tangkapan utama semakin pupus.

Antara nelayan pantai yang menjadi mangsa aktiviti bot pukat Apollo itu ialah dari Kuala Juru, Sungai Haji Din, Sungai Belanak dan Pantai Jerjak.

Kata beliau, tinjauan pihak CAP mendapati bot pukat Apollo yang berpangkalan di Perak itu sering menceroboh perairan negeri ini pada waktu malam dengan menjadikan kawasan 0.5 batu nautika dari pantai Senagai tempat mereka beroperasi.

“Selain hasil tangkapan merosot, nelayan pantai terbabit juga turut mengalami kerugian susulan pukat mereka rosak akibat dilanda bot pukat Apollo berkenaan.

“Selain itu, ada juga nelayan di kawasan pantai tersebut terpaksa mencari pekerjaan lain bagi menyara kehidupan keluarga akibat terputus mata pencarian.

“Kita kesal dengan kejadian itu dan bersimpati nasib nelayan yang sejak sekian lama menghadapi kesusahan kerana masalah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohideen, masalah bot pukat Apollo telah berlaku sejak lebih 30 tahun lalu malah ribuan nelayan pantai di Perak dan Pulau Pinang membuat bantahan berhubung isu berkenaan sebelum ini. – MalaysiaGazette