Home Ekonomi Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan suku pertama meningkat 0.4%

Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan suku pertama meningkat 0.4%

Mohd Uzir Mahidin.

KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan (IHPrP) bagi suku tahun pertama 2021 meningkat 0.4 peratus kepada 110.2 berbanding 109.8 pada suku yang sama tahun sebelumnya.

IHPrP adalah indeks yang mengukur purata perubahan harga perkhidmatan yang dikenakan oleh industri perkhidmatan tempatan di Malaysia.

Subsektor utama yang menunjukkan kepada peningkatan indeks ini ialah penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan & minuman (1.4%), aktiviti hartanah (1.4%), kesihatan (1.3%), pendidikan (0.8%) dan pengangkutan (0.1%).

Bagaimanapun, kesenian, hiburan & rekreasi dan maklumat & komunikasi masing-masing menunjukkan penurunan 1.2 peratus dan 0.1 peratus.

Indeks profesional tidak berubah, menurut Jabatan Perangkaan.

Mengulas lanjut terhadap laporan tersebut, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, perbandingan suku tahunan menunjukkan indeks meningkat kepada 0.1 peratus.

Peningkatan ini disumbangkan oleh subsektor kesenian, hiburan & rekreasi (1.0%), pendidikan (0.4%), aktiviti hartanah (0.4%), penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan & minuman (0.3%) dan kesihatan (0.1%).

Indeks bagi pengangkutan menurun 0.5 peratus manakala subsektor profesional dan maklumat & komunikasi adalah tidak berubah. – MalaysiaGazette