Home Ekonomi IPP Mac naik 9.3%

IPP Mac naik 9.3%

 

KUALA LUMPUR – Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) melonjak 9.3 peratus pada bulan Mac 2021 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

Pertumbuhan IPP pada bulan Mac 2021 dipacu oleh indeks pembuatan dan elektrik apabila masing-masing meningkat 12.7 peratus dan 10.3 peratus.

Sementara itu, indeks perlombongan menguncup 1.9 peratus, kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin.

Manakala Output sektor pembuatan berdasarkan perbandingan tahun ke tahun meningkat 12.7 peratus pada bulan Mac 2021 selepas mencatatkan pertumbuhan 4.5 peratus pada bulan Februari 2021.

Subsektor utama yang menyumbang kepada kenaikan sektor pembuatan pada bulan Mac 2021 adalah kelengkapan pengangkutan & pembuatan lain (20.9%), produk petroleum, kimia, getah & plastik (14.1%) dan produk peralatan elektrik & elektronik (13.8%).

Industri berorientasikan eksport menyumbang kepada pertumbuhan sektor pembuatan sebanyak 12.4 peratus manakala industri berorientasikan domestik meningkat 13.4 peratus.

Pertumbuhan sektor pembuatan turut didorong oleh kadar kapasiti penggunaan kilang yang tinggi terutamanya dalam subsektor produk peralatan elektrik & elektronik dan produk petroleum, kimia, getah & plastik.

Selain itu, prestasi sektor pembuatan ini juga selari dengan pertumbuhan eksport yang memberangsangkan dan IPP bagi beberapa rakan dagang utama Malaysia.

Menurutnya, output sektor perlombongan menguncup 1.9 peratus pada bulan Mac 2021 berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

Kemerosotan tersebut disebabkan oleh penurunan dalam indeks minyak mentah & kondensat (-9.4%).

Pada masa yang sama, indeks gas asli tumbuh positif 4.3 peratus.

Menurut beliau, output sektor elektrik meningkat 10.3 peratus pada bulan Mac 2021 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

IPP bagi suku tahun pertama 2021 berkembang 3.9 peratus berbanding dengan tempoh yang sama tahun sebelumnya disebabkan oleh peningkatan 6.8 peratus dalam indeks pembuatan.

Sementara itu, sektor perlombongan dan elektrik masing-masing merekodkan kemerosotan 4.1 peratus dan 0.1 peratus. – MalaysiaGazette