ALOR SETAR – Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) meneruskan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyalurkan sumbangan bernilai RM12,000 kepada empat buah masjid dan surau di sekitar bandaraya Alor Setar dan Kubang Pasu, Kedah.
Sumbangan berbentuk wang tunai dan juga pek barangan keperluan diserahkan kepada Masjid Nagore, Masjid At-Taqwa dan Surau Al-Ikhwan, Taman Sri Mentaloon di Alor Setar serta Masjid Nurul Iman, Kampung Bukit Tinggi, Kubang Pasu.
Sumbangan berupa wang tunai RM8,000 sempena Ramadan serta pek barangan keperluan yang terdiri daripada beras, minyak masak, gula dan tepung bernilai RM4,000 untuk 80 penerima golongan kurang berkemampuan.
Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan BDB, Sajahan Abdul Waheed berkata, Kumpulan BDB teruja apabila dapat meneruskan inisiatif CSR tersebut kepada komuniti di negeri Kedah yang sememangnya merupakan salah satu tunjang utama syarikat.
Menurutnya, sebagai anak syarikat Kerajaan Negeri Kedah, Kumpulan BDB sememangnya komited dalam membantu masyarakat yang terkesan dan terhimpit dengan keadaan ekonomi yang mencabar pada ketika ini dan diburukkan lagi dengan pandemik Covid-19 yang masih menghantui negara.
“Kumpulan BDB juga sentiasa berusaha untuk dapat turun padang dan mendekati serta membantu golonga yang kurang berkemampuan dan juga asnaf tidak kira samada bantuan zakat mahupun bantuan CSR seperti ini.
“Diharapkan sumbangan wang tunai dan juga barangan keperluan ini dapat meringankan beban para penerima untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.
“Bagi Kumpulan BDB, inisiatif seperti ini tidak akan terhenti di sini sahaja dan di mana syarikat telah merangka pelbagai program CSR yang akan berlangsung sepanjang tahun 2021 dan kami akan terus berusaha untuk bersama-sama kerajaan dalam membantu rakyat yang memerlukan di negeri ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette