LONDON – Chelsea mencipta kejutan mara ke final Liga Juara-Juara untuk berdepan lawan juga dari England, Manchester City selepas menewaskan Real Madrid 2-0 awal pagi tadi seterusnya memberikan kemenangan 3-1 secara agregat di Stamford Bridge.
Jaringan Timo Werner dan Mason Mount berjaya menyekat Madrid ketika juara Eropah 13 kali itu gagal menandingi kepantasan skuad muda Chelsea menerusi serangan balas pantas.
Skuad Blues sepatutnya boleh mendapat kemenangan lebih selesa ketika mereka menentang lawan yang keletihan pada babak kedua.
Musim lalu, lekayaan jutawan Russia, Roman Abramovich telah membolehkan Chelsea berbelanja £220 juta (RM1.259 bilion) dan hasilnya dibayar dengan final pertama Liga Juara-Juara sejak mereka merangkul trofi sulung pada 2012.
Kepulangan ke perlawanan bola sepak terbesar itu juga adalah hasil perubahan besar di Chelsea sejak Thomas Tuchel menggantikan Frank Lampard yang dipecat pada Januari.
Bos Madrid, Zinedine Zidane menyambut kepulangan kapten Sergio Ramos selepas kecederaan buat pertama kali dalam tempoh enam minggu manakala Eden Hazard diberikan penampilan jarang berlaku dalam musim dia dilanda kecederaan ketika pulang ke Stamford Bridge. – MalaysiaGazette