KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menggesa agar Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi agar bersikap lebih proaktif dala menangani kenaikan harga barang keperluan.
Setiausaha Kerja Parti MUDA, Amshar Aziz berkata, Skim Harga Maksimum Musim Perayaan 2021 hanya dilaksanakan selepas masyarakat secara umum membuat aduan mengenai harga barang mentah yang kian meningkat kepada kementerian.
“Sebagai seorang menteri, bukan menjadi tugasan anda untuk membuat pengumuman sahaja mengenai harga barang. Sehingga kini tiada polisi komprehensif untuk menggelak perkara ini dari terus berlaku.
“MUDA ingin mencadangkan agar KPDNHEP bekerjasama rapat bersama MAFI untuk memastikan harga barang akan terus berada di tahap yang tidak membebankan rakyat dan bukan hanya untuk masa dua minggu sahaja berikutan implentasi SKim Harga Maksimum Musim Perayaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bulan lalu, para peniaga rata-rata mengeluh dengan kenaikan harga barang basah ketika Ramadan.
Beberapa tinjauan yang dibuat media mendapati beberapa jenis barang basah seperti ikan, sayur dan ayam sudahpun mengalami peningkatan beberapa hari sebelum puasa.
Dalam pada itu, MUDA turut mencadangkan beberapa solusi kepada KPDNHEP agar aktiviti menaikkan harga barang keperluan ini dapat dibendung pasa masa hadapan.
“Kerajaan perlu mengkaji cara kreatif untuk memastikan orang tengah tidak mengambil untung atas angin yang tinggi ataupun memastikan jualan terus dari pengusaha kepada pelanggan ataupun pengusaha kepada peruncit-peruncit.
“Aplikasi-aplikasi moden seperti Shopee, LAZADA dan Marketplace Facebook sudahpun menjadi medan untuk memotong peranan orang tengah. Kerajaan perlu lebih agresif dalam mengguna pakai medan sedia ada,” cadang Amshar.
Pada 1 Mei lalu, KPDNHEP telah menambah 20 jenis barangan bagi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) 2021 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
SHMMP fasa kedua itu akan berkuatkuasa selama 15 hari bermula 6 hingga 20 Mei ini.
Barangan seperti tomato, cili merah, kubis bulat import, kacang panjang, sawi hijau, terung panjang, timun, halia tua, kelapa biji (borong sahaja) dan kelapa parut (runcit sahaja), bawang merah besar import (China) dan bawang besar (Holland), bawang putih (China), kacang tanah, ikan segar beku kembung, ikan segar beku selar, ikan segar beku selayang dan ikan demuduk turut dikawal.
Sebelum ini, KPDNHEP melaksanakan SHMMP HRP 2021 sebagai langkah untuk mengawal kenaikan harga barangan keperluan semasa bulan Ramadan dan menjelang perayaan Hari Raya Puasa yang akan disambut pada 13 Mei ini di seluruh negara. – MalaysiaGazette