Home Nasional 70,000 penuntut IPT dijangka pulang berhari raya – Noraini

70,000 penuntut IPT dijangka pulang berhari raya – Noraini

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad beramah mesra bersama pelajar-pelajar ketika Ops Pulang Aidilfitri di Dewan Caunselor Tun Abd Razak (DECTA), Bangi. Foto HAFIZ SOHAIMI, 07 MEI 2021.

BANGI – Lebih 70,000 penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) akan pulang ke kampung halaman masing-masing bersempena cuti Hari Raya Aidilfitri 2021 bermula hari ini sehingga Rabu depan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, berdasarkan unjuran awal pihaknya, kira-kira 100,000 pelajar yang memohon untuk pulang.

“Tetapi jumlah sebenar kita akan tentukan selepas mereka sampai ke destinasi masing-masing. Para pelajar ini bergerak secara berperingkat, kalau mereka pulang awal maka akan balik ke kampus juga awal.

“Tarikh akhir untuk semua pelajar pulang ke kampus masing-masing adalah 20 Mei dengan menaiki kenderaan disediakan oleh pihak IPT, kereta sendiri, dihantar oleh ibu bapa atau secara penerbangan bagi pelajar dari Sabah dan Sarawak,” katanya.

Terdahulu Noraini meluangkan masa selama 30 minit bertemu 713 pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang akan pulang ke kampung halaman dengan menaiki 13 buah bas menerusi Operasi Penghantaran Pulang Pelajar IPT di Dewan Canselor Tun Abdul Razak hari ini.

Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) gembira melambai bergambar sebelum pulang ke kampung halaman untuk menyambut hari raya menerusi Ops Pulang Aidilfitri di Dewan Caunselor Tun Abd Razak (DECTA), Bangi. Foto HAFIZ SOHAIMI, 07 MEI 2021.

Turut hadir, Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Mohd Ekhwan Toriman.

Mengulas lanjut, Noraini berkata, terdapat sebahagian pelajar yang membuat keputusan untuk tidak pulang ke rumah masing-masing dan mahu tinggal di kampus sepanjang cuti perayaan.

“Ada juga yang membuat keputusan sedemikian dan mereka yang berada di kampus akan dipantau oleh pihak universiti dan juga diraikan bersama-sama pada sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba,” ujarnya.

Ketika ditanya pemberita sama ada penuntut IPT perlu menjalani ujian saringan Covid-19 selepas pulang semula ke kampus, Noraini berkata, situasi tersebut bergantung kepada tahap kesihatan pelajar.

Swab test itu kita tengok kepada keadaan kesihatan pelajar sekiranya mereka ada gejala,” katanya.

Pada 29 April, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memaklumkan lebih 100,000 penuntut IPT di seluruh negara dibenarkan pulang ke kampung sempena cuti Aidilfitri kecuali Sarawak.

Menerusi kenyataan dikeluarkan KPT, pergerakan mahasiswa di setiap IPT akan dilaksanakan secara berfasa bagi memastikan pergerakan terkawal, dengan tarikh pergerakan pulang ke rumah masing-masing ditetapkan mulai 7 hingga 12 Mei manakala tarikh kembali ke kampus bermula 15 hingga 20 Mei depan. – MalaysiaGazette