Home Nasional Abdul Hadi berjaya batalkan saman hasutan

Abdul Hadi berjaya batalkan saman hasutan

Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berjaya membatalkan saman yang difailkan oleh dua panganut Kristian pada 9 Disember 2020 lalu.

Mahkamah Tinggi di sini mendapati permohonan yang dikemukakan oleh dua individu itu sangat remeh serta menyalahgunakan proses mahkamah.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Akhtar Tahir berkata, saman pemula yang difailkan oleh Maklin Masiau dan Lawrence Jomiji Kinsil@Maximilhian tiada locus standi untuk membuat tuntutan.

Akhtar Tahir ketika membaca penghakiman merumuskan kedua-dua plaintif yang berasal dari Sabah tidak mempunyai hak di sisi undang-undang untuk saman tersebut.

Jelasnya, kenyataan yang telah dibuat oleh Abdul Hadi lebih kepada kumpulan mubaligh Kristian dan bukan penganut atau agama itu sendiri.

“Sebenarnya ‘jumpa awak di mahkamah’ untuk takutkan orang lain sebelum ini tetapi ianya adalah perkara biasa ketika ini.

“Mahkamah mengenakan kos punitif kepada mereka berdua ini kerana telah kemukakan tindakan remeh sehingga menyebabkan sistem kehakiman sesak dengan kes-kes tidak perlu seperti ini,” katanya hari ini.

Beliau kemudian membatalkan saman pemula itu dan memerintahkan kedua-dua plaintif membayar kos punitif berjumlah RM100,000.

Pada 9 Disember 2020, kedua-dua plaintif memfailkan saman pemula terhadap Abdul Hadi atas dakwaan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf Menteri itu telah mengeluarkan satu penyataan menghasut.

Abdul Hadi dituduh mengeluarkan kenyataan berhubung penganut atau mubaligh Kristian yang telah diterbitkan dalam sebuah akhbar pada 18 Januari 2016 dan kemudian dilaporkan oleh sebuah portal pada hari sama.

Mereka mendakwa Abdul Hadi telah melakukan tindakan hasutan yang bertentangan dengan Seksyen 3 Akta Hasutan 1948 dan pengisytiharan bahawa defendan tidak layak memegang sebarang jawatan dalam Kerajaaan Malaysia termasuk suatu jawatan yang setara dengan jawatan menteri.

Bagaimanapun pada 28 Januari lalu, Abdul Hadi mengemukakan permohonan untuk membatalkan saman pemula difailkan Maklin Masiau dan Lawrence Jomiji Kinsil @ Maximilhian selaku plaintif pertama dan kedua. -MalaysiaGazette