Home Nasional JAS gempur kilang lebur logam dalam kebun kelapa sawit

JAS gempur kilang lebur logam dalam kebun kelapa sawit

Inilah kilang lebur logam secara haram di kebun kelapa sawit di Batu Gajah digempur JAS negeri Perak semalam.

BATU GAJAH – Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri Perak menyerbu sebuah kilang melebur logam yang beroperasi secara haram di kawasan kebun kelapa sawit di Tanjung Tualang di sini semalam.

Operasi bersepadu melibatkan pelbagai agensi itu dilakukan hasil maklumat awam selepas curiga dengan operasi di kilang berkenaan sejak sebulan lalu.

Pengarah JAS negeri, Rosli Zul berkata, semasa serbuan dilakukan kilang itu telah pun ditinggalkan pemiliknya termasuk pekerja.

Jelas beliau, berdasarkan peralatan-peralatan yang ditemui kita percaya kilang itu digunakan untuk melebur logam secara haram selain terdapat dua ruang pembakaran peleburan logam bersama sisa-sisa pembakaran di dalam premis.

“Kita tidak menolak kemungkin kedudukan kilang sejauh empat kilometer dari jalan besar dan kawasan perumahan menyukarkan operasinya dikesan pihak berkuasa.

“Selain itu, tiada alat kawalan pencemaran dipasang manakala teknologi pembangunan pemprosesan yang dijalankan bukan teknologi terkini sebaliknya merupakan teknologi konvensional yang tidak lagi sesuai digunakan pada masa ini,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambah Rosli, pihak Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Batu Gajah telah mengenal pasti pemilik tanah, namun siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengesan pengendali kilang untuk diambil tindakan.

Katanya lagi, sampel sisa bahan yang telah diproses telah diambil untuk dihantar ke jabatan kimia bagi mengenalpasti sama ada bahan tersebut dalam kategori barang buangan berjadual.

“Sekiranya buangan dihasilkan dikategorikan sebagai buangan berjadual, maka kita akan arahkan pemilik tanah untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan tinggalan berdasarkan Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekitar (AKAS),” tegasnya.

Orang awam diminta melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan yang boleh merosakkan alam sekitar kepada JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau adu ke e-Aduan JAS. – MalaysiaGazette