KUALA LUMPUR – Sektor dan aktiviti sukan serta rekreasi termasuk fasiliti komersial, kemudahan awam dan kawasan terbuka digantung sementara bermula hari ini.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memaklumkan, sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri semalam memutuskan untuk menggantung sementara sektor dan aktiviti sukan dan rekreasi di kawasan-kawasan yang telah diisytiharkan sebagai kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“KBS telah membawa beberapa cadangan untuk dibincang dan dipertimbangkan di peringkat Mesyuarat Jawatankusa Teknikal MKN dan sidang khas tersebut.
“Pertimbangan dan keputusan yang dibuat di peringkat ini adalah berdasarkan kepada penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam satu kenyataanmedia di sini, hari ini.
Katanya lagi, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira cabaran dan perkembangan semasa demi kepentingan kesihatan awam selaras dengan hasrat membendung penularan wabak Covid-19 terutamanya di dalam komuniti.
“KBS yakin keputusan ini adalah bersifat sementara dan sentiasa menyokong usaha yang dijalankan KKM demi membendung penularan Covid-19 seterusnya melandaikan keluk jangkitan.
“Penilaian risiko oleh pihak berkuasa seperti KKM akan dibuat dari semasa ke semasa dan kebenaran bagi sektor atau aktiviti sukan dan rekreasi untuk dibenarkan beroperasi semula adalah menjadi komitmen utama KBS,” jelasnya.
Tambahnya lagi, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sentiasa memahami keresahan dan keperitan pihak penggiat sukan dan pemain industri khususnya operator fasiliti sukan dan rekreasi komersial yang terpaksa ditutup dengan keputusan terkini ini di kawasan PKP.
“Keputusan ini adalah bersifat sementara untuk sama-sama membantu kerajaan dalam usaha mengurangkan dan membendung penularan pandemik Covid-19 di dalam komuniti dan negara kita secara amnya,” ujarnya. – MalaysiaGazette