GEORGE TOWN – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengkaji semula Prosedur Operasi Standard (SOP) pengurusan menghadapi krisis dan bencana dalam negara.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar berkata, penelitian semula itu akan dibuat untuk membolehkan PDRM menambah baik SOP sedia ada mengikut kehendak zaman dan masyarakat pada masa kini.
“Kebanyakan SOP pengurusan krisis dan bencana yang ada boleh dikatakan agak lama iaitu digariskan pada tahun 1980-an hingga 1990-an dan ia mungkin sesuai digunakan ketika itu.
“Jadi, saya rasa sudah ada keperluan untuk kita menambah baik SOP sedia ada ini agar pihak polis dapat melaksanakan tugas dengan lebih baik.
“Sebagai contoh kita ambil kes kejadian di Seafield, Subang Jaya di mana pelbagai pengalaman dan pengajaran dipelajari daripada insiden terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Seminar Pengurusan Krisis dan Bencana bagi peringkat zon utara di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Satu di Batu Uban.
Jelas Abd Rahim, seminar selama tiga hari itu disertai kira-kira 23 Ketua Polis Daerah dari Perlis, Kedah serta Pulau Pinang.
“Menerusi seminar sebegini kita dapat berikan pengetahuan serta berkongsi pengalaman dengan KPD, pegawai kanan berhubung cara-cara menangani krisis dan bencana dengan lebih teratur, sekali gus menyelamatkan nyawa serta harta benda,” kata Abd Rahim.
Mengulas lanjut, Abd Rahim menegaskan pelaksanaan seminar itu tepat dengan masa memandangkan negara kini sedang berdepan krisis besar dalam menangani wabak Covid-19.
“Kita percaya krisis yang dihadapi sekarang ini dapat ditangani sebaik mungkin malah PDRM sendiri sudah menggerakkan 37,000 pegawai dan anggota untuk melakukan pemantauan dan Sekatan Jalan Raya bagi memastikan semua orang mematuhi SOP yang ditetapkan untuk memerangi Covid-19.
“Tidak dinafikan ada sedikit sebanyak ketidakpuasan hati orang ramai tetapi bukan mudah kita membatasi pandemik ini,” ujar Abd Rahim.
Pada 28 April lalu, MalaysiaGazette melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membekukan cuti seluruh anggota dan pegawainya bagi memberi tumpuan terhadap sekatan jalan raya (SJR) dalam menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tidak membenarkan pergerakan antara negeri.
Pembekuan cuti itu dilakukan susulan pasukan beruniform itu mahu memperketatkan SJR meskipun PKP tidak diistiyharkan secara keseluruhan. – MalaysiaGazette