Home Nasional UiTM hantar pulang 16,000 pelajar bermula hari ini

UiTM hantar pulang 16,000 pelajar bermula hari ini

Pelajar memasukkan bagasi pakaian ke dalam bonet bas sebelum berlepas pulang ke kampung halaman untuk berhari raya menerusi Ops Pulang Aidilfitri di perkarangan bawah Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 07 MEI 2021.

SHAH ALAM – Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini mula menghantar pulang pelajar-pelajarnya ke kampung halaman untuk berhari raya menerusi Ops Aidilfitri membabitkan hampir 16,000 orang di seluruh negara.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr Roziah Mohd Janor, penghantaran pulang dari kampus Shah Alam sahaja membabitkan 2,000 pelajar bermula hari ini hingga 12 Mei ini.

“Penghantaran pertama hari ini sahaja membabitkan 400 pelajar yang akan menaiki 13 buah bas UiTM dari kampus Shah Alam ke Zon Utara.

“Bas pertama akan dihantar ke UiTM Arau, Perlis dan seterusnya ada di Kedah, ada di Selatan dan ada di Timur.

“Ini diikuti dengan zon selatan, antaranya UiTM Seremban, UiTM Alor Gajah, UiTM Segamat dan UiTM Pasir Gudang,” katanya kepada pemberita di pekarangan bawah Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam, hari ini.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr Roziah Janor (kiri) melakukan gimik perlepasan bas yang membawa pelajar untuk pulang berhari raya menerusi Ops Pulang Aidilfitri di perkarangan bawah Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 07 MEI 2021.

Dalam pada itu, kira-kira 640 pelajar atau 4 peratus daripada 16,000 pelajar UiTM memilih untuk tinggal di kampus di seluruh negara.

“Kebanyakan adalah pelajar dari Sabah dan Sarawak. Walaupun bagaimanapun kita masih beri pilihan kepada mereka.

“Hal Ehwal Pelajar (HEP) UITM akan memastikan kebajikan mereka tidak diabaikan di hari raya nanti.

“Sebahagian daripada pegawai-pegawai HEP juga tidak balik, jadi mereka berkorban,” katanya.

Beliau berkata, HEP UiTM sudah pun mempunyai rancangan termasuk mengadakan sambutan hari raya bagi pelajar-pelajar yang tinggal di kampus.

“Insya-Allah itu bahagian Hal Ehwal Pelajar akan menentukan, sudah ada rancangan nya.

“Sebab Pusat Islam kita juga buka, mana yang sudah buat saringan mereka kita boleh Solat Hari Raya seperti biasa,” katanya.

Gelagat pelajar yang gembira untuk pulang berhari raya menerusi Ops Pulang Aidilfitri di perkarangan bawah Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 07 MEI 2021.

Sementara itu, sepanjang Ops Aidilfitri, pihaknya memastikan pelajar-pelajarnya disaring ketat sebelum dibenarkan menaiki bas untuk dihantar pulang ke kampung halaman.

“Kita sudah saring pelajar-pelajar seperti biasa, kalau pelajar tak lepas saringan ini, kita akan tahan dan kena ikut SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Setakat hari ini, semua pelajar yang disaring bebas daripada simptom Covid-19,” katanya.

Bagi memastikan keselamatan sepanjang perjalanan ke destinasi, UiTM turut membuat saringan ujian air kencing kepada semua pemandu kenderaannya.

“Kita sudah rekodkan dan pada masa sama pemandu-pemandu telah menjalani ujian saringan air kencing dan semuanya negatif.

“Mereka juga bebas daripada simptom Covid-19. Kita doa sama-sama supaya mereka selamat sampai.

“Pada masa sama setiap bas akan diikuti dengan pegawai pengiring yang kita lantik dari jabatan-jabatan berkaitan,” katanya.

Selain itu, pihaknya juga akan membawa pelajar-pelajar dari zon utara ke kampus Shah Alam pada 9 Mei ini menaiki bas yang sama, hari ini.

“Proses yang kita akan buat hari ini bas ke utara, esok akan bawa pelajar di sana untuk ke sini pula (Shah Alam) bagi mengoptimumkan perbelanjaan sebab bukan murah nak menghantar,” katanya.

Gelagat pelajar yang gembira menaiki bas untuk pulang berhari raya menerusi Ops Pulang Aidilfitri di perkarangan bawah Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 07 MEI 2021.

Katanya lagi, UiTM tidak menghantar pelajar-pelajar ke rumah masing-masing, sebaliknya mereka akan ditempatkan di kampus UiTM sebelum dijemput pulang ibu bapa.

“Sampainya di destinasi, kita tak hantar ke rumah, kita hantar ke kampus UiTM dan dari situ nanti ibu bapa atau adik-beradik boleh datang ambil.

“Proses pengambil di kampus pun saringan di pintu masuk juga ketat juga memang pegawai polis bantuan kita sejak mula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam,” katanya lagi. – MalaysiaGazette