BAITULMAQDIS – Sekurang-kurangnya 163 rakyat Palestin dan enam Israel cedera dalam pertempuran di Jerusalem, kata pegawai perubatan Palestin dan polis Israel.
Sebahagian besar cedera di Masjid al-Aqsa selepas polis Israel melepaskan peluru getah dan bom tangan ketika Palestin melemparkan batu dan botol.
Ketegangan telah meningkat susulan pengusiran penduduk Palestin dari tanah yang dituntut oleh peneroka Yahudi.
Bulan Sabit Merah telah membuka sebuah hospital lapangan untuk merawat mangsa-mangsa yang cedera.
Kompleks Masjid Al-Aqsa di Bandar Lama BAitulmaqdis adalah salah satu lokasi yang paling dihormati oleh umat Islam, tetapi lokasinya juga menempatkan tempat suci dalam agama Yahudi, yang dikenal sebagai Temple Mount.
Kawasan ini merupakan tempat punca ketegangan yang kerap berlaku dan kali ini terjadi pada pada malam Jumaat ketika ribuan umat Islam berkumpul pada hari Jumaat terakhir bulan Ramadan.
Seorang pegawai Masjid Al-Aqsa terpaksa menggunakan pembesar suara meminta semua orang bertenang.
Perkhidmatan kecemasan Bulan Sabit Merah Palestin mengatakan 88 orang Palestin yang cedera dibawa ke hospital setelah mereka terkena peluru logam bersalut getah.
Polis mengatakan kira-kira enam anggotanya cedera memerlukan rawatan perubatan.
Komuniti antarabangsa meminta supaya ketegangan diredakan memandangkan kemarahan memuncak selepas usaha mengusir keluarga Palestin yang terancam dilakukan Israel di daerah Shaikh Jarrah, di timur Baitulmaqdis.
Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat berkata, Washington “sangat prihatin terhadap ketegangan yang meningkat”.
Penyelaras Khas PBB untuk Proses Perdamaian Timur Tengah, Tor Vennesland, mendesak semua pihak untuk “menghormati status quo tempat suci di Kota Lama Baitulmaqdis demi kepentingan keamanan & kestabilan”. – MalaysiaGazette