KUALA LUMPUR – Seramai 2,147 mahasiswa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dihantar pulang ke rumah masing-masing sempena cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri.
Pejabat Penolong Naib Canselor Perkhidmatan, Jaringan lndustri dan Perhubungan Korporat UPNM dalam satu kenyataan memaklumkan, penghantaran pulang mahasiswa itu dibuat susulan kebenaran yang diberikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) kepada pelajar lnstitusi Pendidikan Tinggi (IPT) untuk pulang berhari raya kecuali pelajar yang tinggal di Sarawak.
“Pihak UPNM telah mengambil inisiatif menguruskan pergerakan para mahasiswanya berdasarkan ketetapan mekanisme kawalan pergerakan secara berfasa seperti yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
“Fasa pergerakan bermula pada 7-12 Mei 2021 (pergerakan pulang ke rumah masing-masing) dan 15-20 Mei 2021 (pergerakan balik ke kampus),” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, daripada jumlah mahasiswa yang dihantar pulang seramai 797 orang mahasiswa akan menaiki bas sewa khas, 1,285 orang menggunakan kenderaan keluarga, dan 47 orang menggunakan penerbangan komersil.
“Pihak UPNM juga amat berterima kasih dan menghargai bantuan ikhlas yang telah dihulurkan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang telah sudi membantu penghantaran 18 orang mahasiswa berkeperluan untuk pulang ke Negeri Sabah menggunakan pesawat pengangkut TUDM,” ujarnya.
Tambah kenyataan itu lagi, Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah bersama-sama pengurusan tertinggi universiti turut hadir bagi meninjau persiapan dan seterusnya mengiringi pelepasan mahasiswa pulang bagi fasa pertama semalam di kampus UPNM Kem Sungai Besi.
Pada sesi tinjauan tersebut, Hasagaya telah menyampaikan pesanan agar semua mahasiswa sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard serta norma baharu dalam mencegah penularan pandemik Covid-19 di sepanjang tempoh cuti perayaan. – MalaysiaGazette