Home Seni Hidup Baju sudah basah tapi poket masih kering – Fuad

Baju sudah basah tapi poket masih kering – Fuad

Akibat penangan Covid-19, Muhammad Fuad Abdul Rahman terpaksa menyara keluarga dengan menjadi penghantar makanan di Pulau Pinang memandangkan tiada lagi kerja sebagai pemandu bas pelancong.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak 2020 memberi impak yang besar kepada sektor ekonomi negara termasuk menjadi punca industri pelancongan di negara ini lumpuh.

Ramai pnggiat industri berkenaan tidak dapat bertahan lama dan salah seorangnya pemandu bas pelancong, Muhammad Fuad Abdul Rahman.

Akibat penangan Covid-19, beliau kini terpaksa menyara keluarga dengan menjadi penghantar makanan di Pulau Pinang memandangkan tiada lagi kerja sebagai pemandu bas pelancong.

“Kehidupan kami selepas setahun memang agak susah sebab sebelum ini berharap dengan pelancong. Hidup tidak menentu jadi saya sangat menghargai duit raya ini dapat membantu serba sikit kekurangan,” katanya.

Muhammad Fuad berkata demikian ketika sidang media penyampaian bantuan khas kepada pemandu bas persiaran yang terjejas akibat Covid-19 yang diadakan secara virtual oleh Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) hari ini.

BACA: Dihimpit hutang, ada pemandu bas pelancong cuba bunuh diri – GAPP

Walaupun kerjaya berkenaan kini semakin hilang sirna namun beliau masih menyimpan harapan yang tinggi agar industri pelancongan kembali hidup agar penggiatnya dapat kembali bekerja.

Beliau turut mendoakan agar rakan-rakan seperjuangannya tidak berputus asa selepas kehilangan pendapatan.

“Semoga kita cepat untuk bersama-sama berjuang kembali harap selepas hari raya ini keadaan pulih.

“Tak larat, petang-petang hujan di Pulau Pinang ini, baju basah, poket masih kering,” tambahnya.

Muhammad Fuad merupakan salah seorang pemandu bas pelancong yang menerima sumbangan RM300 daripada MTC hari ini bersyukur dan akan menggunakannya bagi keperluan hari raya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

MTC kumpul RM30,000 bantu pemandu bas pelancong