Home Utama Polis pantau 5 laluan tikus sempadan P. Pinang elak rentas negeri

Polis pantau 5 laluan tikus sempadan P. Pinang elak rentas negeri

Sahabudin Abd Manan.

BALIK PULAU – Polis Pulau Pinang telah mengenal pasti lima laluan tikus di sempadan negeri itu yang dipercayai akan digunakan orang awam untuk merentas negeri menjelang perayaan Aidilfitri.

Ketua Polis negeri, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, pihaknya akan melakukan Sekatan Jalan Raya (SJR) secara mobile di lokasi yang dikenal pasti itu dalam usaha memastikan tiada cubaan rentas negeri ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.

“Lima laluan tikus itu adalah jalan kecil atau jalan kampung yang boleh melolos masuk ke sempadan negeri berhampiran.

“Saya telah arahkan ketua polis daerah di kawasan terbabit supaya menjalankan sekatan di laluan berkenaan,” kepada media di Majlis Berbuka Puasa di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya semalam.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintenden AA.Anbalagan.

Mengulas lanjut Sahabudin berkata, sebanyak 15 SJR dengan kawalan lebih ketat dilakukan ketika ini dengan kekuatan kira-kira 700 anggota polis.

Kata beliau, terdapat hampir 3,000 anggota polis sudah bersedia bagi tugasan itu sekiranya PKP dilaksanakan semula di Pulau Pinang.

“Bagi PKPB ini, kita mempunyai 108 kumpulan ‘task force’ yang menjalankan pemantauan pematuhan PKPB,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Sahabudin menegaskan, setakat ini pihaknya belum menerima laporan mengenai kesalahan salah guna borang kebenaran rentas negeri.

“Kita lebih teliti dalam meluluskan borang permohonan rentas negeri, begitu juga ketika pemeriksaan di SJR, pelbagai alasan yang diberikan orang awam dan kita mahukan bukti.

“Setakat ini tiada kes sedemikian dikesan namun jika berlaku salah guna kebenaran yang diberikan, kita akan terus kompaun,” kata Sahabudin. – MalaysiaGazette