KUANTAN – Seorang anggota tentera dan anak lelakinya maut selepas kenderaan yang dinaiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux di KM137.5 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala Kuantan di sini semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Supt Kamarulzaman Jusoh berkata Mohamad Kausa Mustafa, 36, dan anaknya Muhammad Ridwan yang berusia lima tahun meninggal dunia di lokasi, dalam kejadian sekitar pukul 1.50 tengah hari itu.
Beliau berkata isteri Mohamad Kausa, Ainul Yaqin Mokhtar, 31, dan dua lagi anak mereka, Nursyuhada, 8, serta Nur Sakinah berusia enam hari yang turut berada dalam kenderaan jenis Perodua Viva itu mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan di Hospital Temerloh.
Menurutnya siasatan awal mendapati kenderaan yang dinaiki Mohamad Kausa sekeluarga dikatakan telah membrek secara mengejut dan menyebabkan pemandu Toyota Hilux tidak sempat mengelak dan melanggar bahagian belakang kereta di hadapan.
“Pelangaran itu menyebabkan kenderaan Mohamad Kausa terbabas ke sebelah kiri jalan dan kereta itu mengalami kerosakan teruk di bahagian belakang,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Kamarulzaman berkata pemandu Toyota Hilux berusia 21 tahun serta penumpangnya berusia 46 tahun selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan. – BERNAMA