Home Nasional 38 individu rentas sempadan tanpa surat kebenaran dikompaun

38 individu rentas sempadan tanpa surat kebenaran dikompaun

barisan hadapan IPD Kuantan dalam Operasi Operasi Khas Rentas Negeri di Kilometer 22 Jalan Kuantan-Jabor ketika sidang media di Balai Polis Gebeng

KUANTAN – Tindakan berani segelintir individu merentas negeri dari daerah Kemaman ke Kuantan tanpa dokumen dan surat kebenaran menemui padah apabila dikompaun RM5,000 seorang.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, polis menahan seramai 38 individu serta mengeluarkan kompaun hasil pemeriksaan dalam sekatan Jalan Kuantan-Jabor tengah hari tadi.

Tambahnya ada yang membemberi alasan tidak munasabah seperti membeli barang dan mendakwa ada urusan untuk diselesaikan.

“Mereka yang ditahan dalam sekatan jalan raya Operasi Khas Rentas Negeri di Kilometer 22 Jalan Kuantan-Jabor berusia 19 hingga 60 tahun.

“Rata-rata mereka memberi alasan tidak munasabah pergi ke Kuantan untuk berbelanja demi keperluan menyambut Aidilfitri, ianya tetap melanggar SOP.

“Sebilangan mereka juga beralamat di Kuantan, namun mendakwa ada urusan kerja di Kemaman tetapi gagal mengemukakan dokumen sokongan seperti surat majikan.

“Polis terpaksa mengambil tindakan sewajarnya dengan mengeluarkan kompaun RM5,000 mengikut kadar ditetapkan,” katanya pada sidang media di Balai Polis Gebeng, dekat sini, hari ini.

Bagaimanapun, pesalah yang dikompaun boleh mengemukan rayuan di Pejabat Kesihatan Daerah dan ia bergantung atas budi bicara ketua jabatan, ujarnya.

Sementara itu, beliau memberitahu, meskipun terdapat penduduk yang tinggal di kawasan sempadan daerah, namun adalah tidak wajar dijadikan alasan untuk merentas daerah tanpa kebenaran.

“Tinggal di sempadan bukan tiket untuk mereka bebas bergerak ke negeri terlibat sebaliknya semua tertakluk kepada peraturan,” ujar Mohamad Noor.

ARTIKEL BERKAITAN :

PKP di Kuantan, 3 daerah Pulau Pinang, 2 di Perak

Sila serah diri dengan cara baik, jalani ujian calit – Polis

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kuantan bermula pada 10 Mei sehingga 23 Mei 2021 melibatkan pemantauan sekatan jalan raya selama 24 jam di enam lokasi dengan kekuatan 79 anggota. – MalaysiaGazette