BANDAR GAZA, Palestin – Israel akan menerima balasan kerana menyerang rakyat Palestin di kawasan yang dicerobohinya di timur Baitulmaqdis, kata kumpulan penentang, Hamas.
Rakyat Palestin ‘mampu menghalang pencerobohan (Israel) dan merangka perseimbangan baharu dalam konflik dengan’ Israel, kata anggota kanan Hamas, Moussa Abu Marzouk, dalam satu kenyataan.
“Penceroboh akan menerima akibat kerana mengotorkan Masjid Al-Aqsa dan menyerang jemaah,” tambah beliau.
Abu Marzouk yang membidas negara-negara Arab kerana berdiam diri terhadap perkembangan terkini di Baitulmaqdis berkata, sikap berdiam diri ‘menggalakkan pencerobohan kepada serangan Masjid Al-Aqsa dan penduduk Palestin’.
Beliau menggesa penduduk Palestin ‘menyokong Baitulmaqdis denga apa jua cara dan berusaha berhadapan dengan pencerobohan itu’, lapor agensi Anadolu.
Beberapa negara Arab dan negara serantau termasuk Turki dan Iran mengutuk serangan Israel kerana menyerang rakyat Palestin di Baitulmaqdis dan menyatakan Israel bertanggungjawab sepenuhnya.
Sejak beberapa hari lalu, penduduk Palestin di Baitulmaqdis membantah apabila berlaku pertempuran dengan polis Israel di kejiranan Sheikh Jarrah.
Menurut Persatuan Bulan Sabit Palestin, lebih 205 orang cedera dalam serangan Israel ke atas Masjid Al-Aqsa dan kejiranan Sheikh Jarrah.
Bantahan itu dilakukan berikutan Mahkamah Pusat Israel di timur Baitulmaqdis meluluskan keputusan untuk mengusir tujuh keluarga Palestin dari kediaman mereka dan memihak kepada peneroka Israel pada awal tahun ini. – Malaysiagazette