Home Nasional Menyamar pegawai polis berpangkat Datuk untuk dapatkan permit rentas negeri

Menyamar pegawai polis berpangkat Datuk untuk dapatkan permit rentas negeri

Ketua Polis Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid. Foto HAFIZ SOHAIMI, 15 MAC 2021.

PETALING JAYA – Seorang warga emas yang menyamar sebagai pegawai polis berpangkat Asisten Komisioner untuk mendapatkan kelulusan permit rentas ditahan ketika membuat permohonan di balai polis.

Bagi meyakinkan pegawai yang bertugas di kaunter Balai Polis Petaling Jaya, suspek berusia 65 tahun itu mendakwa beliau bergelar Datuk.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, lelaki yang berumur 65 tahun itu datang ke balai polis pada jam 9 malam Jumaat lalu untuk mendapatkan kelulusan permit rentas negeri.

“Suspek telah bertindak menunjukkan gambar dirinya berpakaian uniform lengkap pada skrin telefon bimbit dan mengaku sebagai pegawai kanan polis berpangkat Assistant Commissioner of Police (ACP) tanpa menunjukkan sebarang bukti identiti sebagai pegawai kanan polis.

“Suspek juga turut mengaku kepada anggota bertugas di kaunter balai polis sebagai seorang yang berpangkat dato’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pengadu seorang anggota polis yang bertugas pada ketika itu telah meminta suspek untuk mengemukakan sebarang dokumen yang menunjukkan beliau adalah seorang pegawai kanan polis namun suspek gagal berbuat demikian.

Sehubungan itu, ujarnya, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menahan suspek kerana gagal mempamerkan sebarang kad identiti dan kad kuasa serta menyamar sebagai seorang penjawat awam.

Menurut Mohamad Fakhrudin, suspek telah direman selama sehari untuk tindakan lanjut polis dan kes disiasat bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

“Kesalahan menyamar sebagai penjawat awam adalah kesalahan serius dan tindakan lebih tegas akan dikenakan sekiranya ada pihak yang cuba untuk menyamar dan memalsukan sebarang dokumen bagi permohonan permit rentas negeri,” katanya.-MalaysiaGazette