KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBK) mengarahkan sebuah premis hiburan ala Bollywood yang beroperasi tanpa kebenaran dan melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditutup malam tadi.
Premis itu dikatakan beroperasi di Kompleks Wilayah, Bukit Bintang Kuala Lumpur.
Laman sosial Facebook DBKL menyatakan serbuan itu dilakukan menerusi Jabatan Penguatkuasaan (JPK) berikutan aduan yang dilakukan orang awam.
“Premis hiburan ala Bollywood itu menggunakan laluan pintu belakang (pintu kecemasan) bagi mengaburi dan mengelak dari dilihat dari orang ramai akan aktiviti mereka.
“Selain dari itu, pintu hadapan premis ini mengandungi dua lapisan termasuk satu pintu tebal yang berfungsi sebagai pintu kedap bunyi bagi mengelakkan bunyi bising muzik kuat daripada didengari oleh orang luar.
“Seramai empat orang wanita warga Bangladesh yang bertugas sebagai pelayan dan juga penari berada di dalam premis semasa serbuan dilakukan.
“Tindakan sita turut dilakukan terhadap 14 pelbagai peralatan berkaitan aktiviti ini berupa komputer riba, mixer, mikrofon dan lain-lain,” kata DBKL hari ini.
Dalam pada itu, DBKL turut mengeluarkan satu Notis Pemberitahuan Tentang Kesalahan di bawah Seksyen 4(1)(a) dan Seksyen 4(1)(b) Akta Hiburan 1992.
Seandainya sabit kesalahan pemilik premis boleh didenda sehingga RM50,000.
Satu notis kompaun turut dikenakan di bawah Undang Undang Kecil Petempatan Makanan (WPKL) 2016 kerana menyalahgunakan lesen restoran / kedai makan dengan menjual dan menghidangkan minuman keras tanpa kebenaran sah yang boleh didenda sehingga RM2,000.
Operasi ini dilaksanakan mengikut bidang kuasa, peruntukan undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP) DBKL dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Operasi seumpama ini akan diteruskan dari masa ke semasa dan sebarang aduan, warga kota boleh menyalurkan kepada pihak DBKL secara atas talian di alamat http://ispaaadbkl.dbkl.gov.my/eApps/system/index.do -MalaysiaGazette
Kenapakah 4 wanita Banglas kerja pelayan dan penari tanpa permit tak didakwa langgar akta imigresen?