KUALA LUMPUR – Pemain naturalisasi kedua negara, Liridon Krasniqi akhirnya dipanggil buat pertama kali menyertai latihan pusat Harimau Malaya untuk persiapan menghadapi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada bulan depan.
Liridon antara tiga muka baharu yang dipanggil jurulatih, Tan Cheng Hoe selain bintang muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Mohd Hanapi dan penjaga gol Penang FC, Samuel Somerville.
Liridon bersama tiga lagi pemain negara yang beraksi di liga luar iaitu Junior Eldstal, Dominic Tan serta Luqman Hakim Shamsudin bagaimanapun tidak perlu melapor diri di Kuala Lumpur pada 16 Mei ini, sebaliknya terus menyertai pasukan di Dubai pada 20 Mei ini.
Bagaimanapun, malang bagi ‘kereta kebal’ Harimau Malaya, Shahrul Saad dan penyerang, Shahrel Fikri Md Fauzi apabila mereka terpaksa diketepikan akibat kecederaan ketika perlawanan Liga Super pada 5 Mei lalu.
“Setakat ini ada beberapa pemain yang kita senaraikan seperti penyerang Selangor FC, Shahrel Fikri cedera dan terbaru pula Shahrul turut cedera di lutut.
“Jika Shahrel Fikri cedera kita ada beberapa nama lain yang boleh ganti seperti (Guilherme) De Paula, Syafiq Ahmad dan Norshahrul Idlan Talaha namun di bahagian pertahanan tidak ramai,” kata Cheng Hoe.
Skuad Harimau Malaya akan mula menjalani latihan di Stadium Nasional, Bukit Jalil selama empat hari bermula 16 hingga 19 Mei ini sebelum terbang ke Dubai pada 20 Mei bagi perlawanan pemanas badan bertemu Kuwait di sana pada 23 Mei.
Pada 25 Mei, skuad Harimau Malaya akan terbang ke Manama, Bahrain bagi perlawanan persahabatan kedua menentang Bahrain pada 28 Mei dan kembali ke Dubai pada 31 Mei bagi persediaan terakhir menghadapi baki tiga perlawanan kelayakan.
Malaysia akan bertemu tuan rumah, Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Zabeel, Dubai pada 3 Jun diikuti aksi menentang Vietnam di Stadium Al Maktoum (11 Jun) dan berdepan Thailand juga di Stadium Al Maktoum (15 Jun).
Selepas lima perlawanan setakat ini, Vietnam mengungguli Kumpulan G dengan 11 mata diikuti Malaysia (sembilan), Thailand (lapan), UAE (enam) dan Indonesia (tanpa sebarang mata). – MalaysiaGazette