Home Seni Hidup ‘Deme balik raya dengan ambe deh’

‘Deme balik raya dengan ambe deh’

Mohd Amirul (kanan) membantu rakannya Mohd Sufri (kiri) mengemaskan keperluan untuk di bawa pulang menyambut Aidilfiri di Kemaman, Terengganu. Mereka menaiki bas yang disediakan USIM dari Dewan Tuanku Canselor.

BIMBANG berlaku sesuatu kepada rakan baiknya yang mengalami masalah penglihatan di kampus, Mohd Amirol Ridzuan Aripin penuntut Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) nekad membawa pulang rakannya, Mohd Sufri Syahrifuddin ke kampung halamannya di Kemaman, Terengganu untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Amirul dan Sufri masing-masing berusia 23 tahun  merupakan rakan sekuliah di USIM merupakan penuntut tahun tiga Sarjana Muda Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah merupakan antara pelajar USIM yang pulang ke kampung melalui Program Pergerakan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi Pulang Sempena Cuti Perayaan Aidilfitri 2021 yang diumumkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi baru-baru ini.

Menurut Amirul, hatinya berasa tidak tenang memikirkan keadaan Sufri yang berasal dari Kunak, Sabah menguruskan diri di asrama kerana masalah penglihatan terhad yang dihadapinya memerlukan seseorang untuk sentiasa bersamanya.

“Sufri pernah beberapa kali terjatuh apabila berjalan berseorangan semasa di kampus sehingga pernah mengalami kecederaan yang serius.

“Sejak dari awal minggu orientasi di tahun pertama dahulu saya ambil tanggungjawab sehingga kini untuk membantu beliau kerana prihatin pada dirinya. Kebetulah kami sekuliah dan rakan sebilik di asrama, jadi lebih mudah.

“Dia rapat dan selesa dengan saya, jadi pastinya saya merasa sedih jika dia menyambut Aidilfitri seorang diri di asrama. Soal keselamatan dan makan minum dia juga saya bimbang kerana selama ini saya yang menguruskannya,” katanya.

Lagi ibu-bapa Amirul pun sudah menganggapnya sebagai anak sendiri malah adik-beradik juga rapat dengan dia, jadi emaknya memintanya membawa dia pulang berhari raya bersama.

“Sejak di tahun satu lagi saya sudah biasa membawanya pulang ke kampung apabila cuti panjang kerana bimbang meninggalkannya berseorangan di kampus” ujar anak keenam dari lapan orang adik beradik itui.

Mengenai situasi semasa penularan Covid-19 yang semakin meningkat, beliau menyatakan bahawa setiap ujian Allah seperti Covid-19 ini ada hikmahnya dan kesempatan berada dalam bulan Ramadan dan Syawal ini adalah merupakan masa terbaik untuk umat Islam mendekatkan diri kepada tuhan.

Bagi Sufri, beliau melahirkan rasa terima kasih kepada Amirul dan keluarganya kerana mengambil berat keadaan dirinya yang mengambil keputusan tidak pulang ke Sabah kerana faktor kos dan masa yang perlu diperuntukkan, termasuk perlu dikuarantin.

“Meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga Amirul seperti meraikan bersama keluarga saya kerana layanan mereka amat baik, ini kali kedua saya berhari raya bersama mereka dengan kali pertama semasa di tahun satu dahulu.

“Ibu-bapa di Sabah bersyukur kerana saya tidak berseorangan dan titipkan pesanan untuk saya jaga kesihatan dan jaga diri”. ujar anak bongsu dari tiga orang adik beradik ini.

Pelajar USIM gembira dapat berpeluang meraikan Hari Raya di kampung masing-masing menghargai keprihatian Kementerian Pengajian Tinggi dan USIM menjaga kebajikan mereka.

“Mereka berdua merupakan antara kumpulan pertama 181 penuntut USIM yang dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing di Kelantan dan Terengganu menggunakan bas universiti pada Sabtu melahirkan rasa terima kasih kepada KPT dan USIM kerana membantu memudahkan mahasiswa di perantauan untuk pulang ke kampung.

Sementara itu, kumpulan kedua pelajar USIM seramai 74 orang selamat bergerak pulang ke kampung halaman masing-masing di Melaka, Johor dan Perak pada semalam menaiki empat buah bas dan sebuah van universiti yang disediakan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar.

Seramai 1,979 pelajar USIM yang berada di kampus terlibat dalam program pergerakan pulang berhari raya dengan 538 orang daripadanya memilih untuk pulang ke kampung menggunakan kenderaan universiti bermula 8 Mei lalu dengan pergerakan terakhir pada esok hari ke Perlis, Pulau Pinang dan Kedah.- MalaysiaGazette

 

MOHD ZAINI BIN OTHMAN
TIMBALAN PENGARAH
PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK
STRATEGIC COMMUNICATION CENTRE (STRACOMM)
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)