KUALA LUMPUR – Harga minyak sawit mentah (MSM) telah melonjak 12.03 peratus dalam dua bulan sejak 15 Mac 2021, kata Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir.
MSM mencatatkan prestasi terbaiknya dalam sejarah minyak sawit negara apabila meningkat kepada RM4,758.50 setiap tan pada 7 Mei lalu setelah mencapai paras tertinggi dalam sehari RM4,800 setiap tan dan rendah RM4,640 setiap tan.
Harga yang direkodkan pada 7 Mei itu telah melepasi puncak sebelumnya iaitu RM4,652 setiap tan pada 6 Mei.
Menurutnya, rekod harga MSM pada 15 Mac 2021 telah melepasi RM4,247.50 setiap tan, tertinggi sepanjang masa dalam sejarah industri minyak sawit Malaysia.
”Harga yang dicatatkan pada 7 Mei lalu melepasi sembilan puncak sebelumnya.
“Prestasi kenaikkan harga MSM ini dipacu oleh kenaikan harga minyak soya, peningkatan eksport minyak sawit dan stok minyak sawit yang tetap terkawal,” katanya dalam kenyataan di sini.
Ahmad Parveez berkata, eksport minyak sawit Malaysia juga meningkat 12.6 peratus kepada 1,338,672 tan pada April 2021 berbanding 1,188,697 tan pada bulan Mac 2021 disebabkan oleh lonjakan permintaan dari negara-negara pengimport utama.
Ini menyebabkan stok minyak sawit susut sebanyak 24.4 peratus menjadi 1.55 juta tan pada bulan April 2021 berbanding 2,04 juta tan pada bulan April 2020.
Penurunan ini disebabkan pengeluaran MSM untuk Januari-April 2021 enam peratus lebih rendah iaitu 5.18 juta tan berbanding 5.51 juta tan antara bulan Januari-April 2020, ujarnya. – MalaysiaGazette