PUTRAJAYA – Majikan yang tidak membenarkan pekerjanya menjalani kuarantin kendiri sementara menunggu keputusan ujian Covid-19 boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, majikan perlu memberi kebenaran kepada pekerja mereka untuk menjalani kuarantin diri selepas melakukan ujian Covid-19.
“Jika kebenaran tidak diberi, ada peruntukan dalam Akta 342 yang boleh mengenakan penalti terhadap mereka.
“Tindakan boleh diambil jika majikan tidak membenarkan pekerja mereka sama ada disyaki, berkemungkinan atau sedang diuji, menjalani kuarantin kendiri sehingga keputusan diperoleh,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) di Putrajaya, hari ini.
Hadir sama pada sidang media itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.
Dr Adham berkata, pekerja yang menjadi kontak rapat akan diberi gelang kuarantin untuk perintah pemantauan di rumah (HSO) selama 10 hari dan sekiranya negatif, mereka digalakkan menjalani pengasingan secara sukarela sehingga yakin bebas daripada jangkitan Covid-19.
Sementara itu, Khairy berkata, orang ramai yang sudah mendaftar untuk mendapatkan vaksin Covid-19 dengan menggunakan MySejahtera tidak perlu bimbang kerana pendaftaran itu sudah diterima biarpun tidak ada maklumat negeri dan poskod kediaman tertera pada aplikasi tersebut.
Ini kerana katanya, paparan berkenaan sebenarnya adalah satu skrin baharu yang menunjukkan poskod dan negeri berdasarkan kepada alamat disertakan individu yang mendaftar untuk mendapatkan vaksin sebelum ini.
Justeru, beliau memberitahu, sesiapa yang mendaftar sebelum ini dengan meletakkan alamat masing-masing untuk mendapatkan vaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sememangnya sah dan sudah ada dalam sistem mengikut giliran tarikh pendaftaran.
“Apa yang tular itu sebenarnya ciri baharu untuk kita simpan maklumat tambahan iaitu poskod dan negeri.
“Ini dilaksanakan berikutan ada sebahagian kecil daripada mereka yang sudah mendaftar dan menggunakan Google Maps, yang tersilap meletakkan alamat.
“Atas sebab itu kita meminta pengesahan dari segi poskod dan negeri bahawa pendaftaran awal itu memang tepat,” tambahnya. – MalaysiaGazette