KUALA LUMPUR – Malaysia mahu kerajaan Israel bertanggungjawab terhadap pelanggaran hak asasi manusia yang dilakukan tenteranya dalam serangan ke atas rakyat Palestin.
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, apa yang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin termasuk serangan di Masjid Al Aqsa baru-baru ini telah melanggar undang-undang antarabangsa.
“Pendirian Malaysia tidak akan berganjak doa dan sokongan akan terus mengiringi perjuangan rakyat Palestin sampai bila-bila. Semoga pihak yang melakukan kezaliman terhadap negara dan rakyat Palestin, diberi azab pembalasan setimpal oleh Allah SWT,” katanya menerusi laman Facebook hari ini.
Beliau menyifatkan perbuatan zalim Israel sebagai amat menjengkelkan kerana telah menghina umat Islam.
“Masjid Al-Aqsa tempat yang amat suci bagi umat Islam. Sudah tiga hari berlalu namun ia masih berbekas dan hanya Allah SWT sahaja tahu betapa sedih dan marahnya melihat masjid suci ini diceroboh dan saudara-mara kita di sana diserang tentera penjajah Israel serta pendatang haram Yahudi 7 Mei lalu.
“Lebih menjengkelkan, ini bukan kali pertama pihak Israel bertindak zalim dan menghina umat Islam seperti ini,” tambah Hishammuddin.
Semalam beliau menegaskan Malaysia mengecam sekeras-kerasnya pencerobohan dan serangan tentera penjajah Israel serta pendatang haram Yahudi ke atas rakyat Palestin dan jemaah yang sedang beribadah di Masjid Al-Aqsa sejak beberapa hari lalu. – MalaysiaGazette