Home Nasional Masyarakat disaran salur aduan kepenggunaan melalui Ez ADU

Masyarakat disaran salur aduan kepenggunaan melalui Ez ADU

Rosol
Rosol Wahid

PUTRAJAYA – Pengguna yang tidak berpuas hati dengan urus niaga yang dijalankan boleh mengemukakan aduan melalui aplikasi Ez ADU yang dibangunkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Pengguna hanya perlu telefon pintar yang menggunakan sistem operasi android dan memuat turun aplikasi Ez ADU daripada Play Store secara percuma untuk memfailkan aduan serta memuat naik gambar atau dokumen seperti resit pembelian dan barang yang dibeli untuk menyokong aduan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata tempoh yang diambil bagi menyiasat sesuatu aduan tertakluk kepada tahap kompleksiti aduan tersebut dan maklum balas mengenai hasil siasatan akan dimaklumkan kepada pengadu dalam tempoh 21 hari bekerja.

Menurutnya, aplikasi Ez ADU itu telah dimuat turun kira-kira 50,000 kali dengan 22,589 pengguna aktif sejak diperkenalkan pada 2015.

Sejumlah 25,770 aduan telah difailkan pengguna melalui Ez Adu sejak 2015 hingga 24 April lepas, dengan purata penyelesaian kes ialah 97.19 peratus, katanya kepada Bernama.

“Dalam satu kes baru-baru ini, ada seorang pengguna yang memfailkan aduan melalui aplikasi ini selepas tidak berpuas hati dengan transaksi dalam talian dan dalam masa tiga hari aduannya telah diselesaikan,” katanya.

Rosol berkata aplikasi itu menerima pelbagai jenis aduan kepenggunaan dan sekiranya aduan tersebut di luar bidang kuasa KPDNHEP, ia akan disalurkan kepada agensi berkaitan.

“Sebagai contoh, semasa isu bil elektrik yang tinggi tahun lepas, semua aduan yang berkaitan isu tersebut kami salurkan terus ke Suruhanjaya Tenaga, jadi ini bermaksud aduan pengguna tidak disia-siakan,” katanya.

Bagi memastikan aduan yang difailkan dapat diselesaikan, pengadu perlu memastikan setiap maklumat yang disalurkan adalah lengkap terutamanya maklumat pihak yang diadu seperti nama, alamat dan nombor telefon, katanya.

Menurutnya, antara cabaran yang dihadapi pegawai KPDNHEP semasa menguruskan aduan ialah pengadu gagal mengemukakan aduan yang lengkap, tidak mengemukakan bukti aduan selain pengadu beremosi semasa membuat aduan dan melepaskan kemarahan kepada pegawai yang menerima aduan.- BERNAMA