Home Sukan Nafuzi puji anak buah tidak mudah mengalah

Nafuzi puji anak buah tidak mudah mengalah

Nafuzi Zain. Foto Facebook Terengganu FC.

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain berharap pasukannya mampu mengelak daripada terus tercicir mata tatkala mereka ketika ini semakin konsisten mendaki kedudukan Liga Super untuk berada di tangga kedua selepas menewaskan Selangor FC 2-1, semalam.

Mengakui perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bukan mudah pada saat skuad kendalian Karsten Neitzel mendahului lebih awal menerusi gol penalti yang disempurnakan oleh Ifedayo Omosuyi, Nafuzi memuji usaha keras anak buahnya yang tidak mengalah untuk kembali bangkit pada minit-minit akhir.

Kemenangan tersebut nyata merapatkan lagi jurang Terengganu dengan pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan perbezaan tiga mata dan jurulatih kelahiran Kelantan ini mahu prestasi sebegini kekal kerana sedikit kesilapan akan memberi ruang kepada pasukan lain terutamanya, Kedah Darul Aman FC memintas kedudukan mereka.

Foto Facebook Terengganu FC.

“Peluang sekarang lebih terbuka apabila dibezakan tiga mata dengan pendahulu dan bagi saya, setiap pasukan memang mengimpikan untuk menjadi juara.

“Dengan skuad yang kita ada sekarang, bagi saya ini adalah yang terbaik terutamanya pemain-pemain muda, cuma paling penting adalah konsisten kerana kalau kita tengok, Terengganu ni kadang-kadang beraksi baik, kadang-kadang tidak.

“Jadi, fokus perlawanan demi perlawanan untuk kita kekal dengan keputusan terbaik, kerana apabila kita meraih kemenangan, automatik pasukan akan sentiasa berada di atas.

“Tahniah untuk semua pemain termasuk pemain-pemain simpanan yang dimasukkan untuk mereka serap tekanan yang ada dan akhirnya meraih gol kemenangan pada saat akhir,” katanya.

Keputusan lain menyaksikan Melaka United FC dan PJ City FC masing-masing membawa pulang satu mata sahaja apabila perlawanan berakhir tanpa jaringan manakala Sri Pahang membenam cabaran Perak FC di tempat lawan.

Berakhir 13 perlawanan secara keseluruhan, saingan Liga Malaysia akan kembali bersambung pada Julai depan bagi memberi laluan kepada aksi skuad kebangsaan.
– MalaysiaGazette